Showing posts with label Definisi dan Konsep. Show all posts
Showing posts with label Definisi dan Konsep. Show all posts

Monday, July 19, 2010

SIAPAKAH PEMBERONTAK..?

1. Pemberontak pada bahasa bererti melampaui batas. Pada istilah fuqaha' : seperti yang ditakrifkan oleh Ibn 'Urfah ( bermazhab maliki) sebagai "keengganan mematuhi pemerintah yang sah pada perkara yang bukan maksiat dengan kekerasan. Menderhakai pemerintah adalah haram di sisi syarak, ianya berlandaskan kepada Sabda Rasulullah s.a.w:

"Sesiapa yang enggan mematuhi pemerintah, sesungguhnya ia akan datang pada Hari Akhirat tanpa hujah bagi pihaknya; dan sesiapa yang mati dalam keadaan keluar dari perkumpulan muslimin, maka sesungguhnya ia mati sebagai kematian jahiliyah".

2. Ulama Maliki mentakrifkan pemberontak sebagai sebagai orang-orang yang berperang kerana sesuatu alasan (ta'wil), umpamanya golongan-golongan yang sesat seperti Khawarij dan lain-lain. Mereka mengingkari pemerintah, enggan mematuhi pemerintah, ataupun mengingkari mana-mana kewajipan mereka seperti membayar zakat dan sebagainya.

3. Manakala ulama Hambali pula mentakrifkan pemberontak sebagai "orang-orang yang menentang pemerintah, walaupun yang tidak adil dengan alasan (ta'wil) yang harus serta mempunyai kekuatan meskipun tanpa ketua yang dipatuhi. Menentang pemerintah tetap diharamkan sekalipun ia tidak adil.

Hukuman Terhadap Pemberontak

4. Apabila golongan pemberontak tidak mempunyai benteng pertahanan, maka pemerintah berhak menangkap dan menahan mereka sehingga mereka bertaubat.

5. Seandainya mereka (pemberontak) telah bersiap sedia untuk berperang dan mereka mempunyai benteng pertahanan dan kekuatan senjata, pemerintah hendaklah menyeru mereka supaya terus taat kepada negara Islam dan kembali kepada pendapat ramai (majoriti) terlebih dahulu seperti yang dilakukan terhadap musuh. Jika mereka masih enggan, maka pemerintah (ahl al-Adl) hendaklah memerangi, mengalahkan dan membunuh mereka. Selain itu diharuskan membunuh para pentadbir serta menawan dan mencederakan mereka menurut ulamak hanafi. Sebaik-baiknya pemerintah tidak memulakan memerangi mereka sehinggalah mereka memulakannya kerana memerangi mereka adalah untuk menolak kejahatan mereka.

Firman Allah s.wt , Surah al-Hujurat : Ayat 9, bermaksud: "Dan jika dua puak daripada orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya: jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka perangilah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara): sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil".

6. Adalah tidak mengapa memerangi pemberontak dengan senjata mereka sendiri, dan mengambil manfaat dengan kuda-kuda mereka jika orang-orang Islam memerlukannya, kerana pemerintah berhak berbuat demikian terhadap harta rakyat yang taat ketika perlu, apatah lagi pada harta orang yang zalim. Harta benda mereka yang zalim (pemberontak) ini perlu ditahan oleh pemerintah sehingga terhapusnya pemberontakan mereka. Apabila pemberontakan telah reda, ia dikembalikan semula kepada mereka.

Sumber rujukan : Fiqh dan Perundangan Islam, DR. Wahbah Al-Zuhaili, DBP- 2001

Sunday, July 18, 2010

Runtuhkan Demokrasi Sekular.

Dalam strata sosial di seluruh dunia, terdapat pelbagai corak pemerintahan yang digunakan untuk mengatur masyarakat seperti sistem monarki, demokrasi, autokrasi dan republik.

Tetapi bagi masyarakat Muslim, kebanyakan mereka lebih memilih demokrasi daripada konsep Khalifah. Konsep Demokrasi amat berbeza dengan konsep Khalifah kerana Demokrasi lebih mengamalkan Majoriti, manakala Khalifah lebih mengamalkan Syura atau Konsensus. Majlis Khalifah perlu disertai ahli-ahli profesional agama manakala Parlimen Demokrasi lebih kepada kuasa golongan Sekular. Bagi mereka agama tidak boleh dicampur oleh politik.

Inilah mengapa Ulama disisihkan dalam merangka undang-undang. Hal ini telah menyebabkan Negara Malaysia menjadi porak-peranda sekarang kerana mengamalkan sekular. Saudaraku, sedarlah bahawa kita masih mengimani "Perlembagaan Malaysia" sebagai rujukan mutlak dalam negara ini dan bukannya merujuki Al-Quran dan As-Sunnah.

Undang-undang Allah lebih aula daripada undang- undang ciptaan manusia. Sepertimana firman Allah dalam Surah Al-Baqaroh "Alif Lam Mim, Al-quran tiada keraguan padanya..", Yakinlah dengan Syariat Allah dan pemerintahan Khalifah..

Demokrasi sedang menjadi anutan seluruh negara Islam kerana kita merasakan itulah yang terbaik untuk kita setelah 'kalah' dengan peradaban dan tamadun barat yang kita rasakan amat hebat dan sofistikasi itu. Maka apa yang tamadun kuffar itu lakukan akan menjadi ikutan bagi sesetengah kita semua dengan menjadikan barat atau timur(seperti korea dan jepun) sebagai kiblat.

Dimanakah maruah kita wahai umat islam yang dijanjikan oleh Allah sebagai ummatan wasatan dan khoirul ummat? Kita sebanarnya telah mempunyai perlembagaan yang tidak ada keraguaan dan kesalahan padanya yang mampu memberikan kebahagiaan didunia dan diakhirat iaitu al- quran dan as-sunnah yang agung. Kedua-dua sumber itu tidak ada kesalahan dan kesilapan walaupun satu huruf sekalipun kerana ianya datang daripada Allah Yang Amat Bijaksana dan Amat Mengetahui sepertimana firman Allah swt "dan kitab al-quran itu tidak ada keraguan padanya untuk menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa-albaqarah:2.

Demokrasi bukannya datang daripada Islam sepertimana yang telah didakwa oleh sesetengah cendikawan tetapi ianya sebenarnya datang daripada tamadun Yunani. Kerana itulah demokrasi bermaksud 'demos' iaitu 'rakyat' dan 'kratos' ialah 'kuasa'. Maka apabila dua epitemologi ini digabungkan ianya menjadi 'kuasa yang berada ditangan rakyat melalui demokrasi dengan kehendak majoriti'.

Hal ini bermakna apa sahaja yang dapat disetujui melalui suara majoriti akan terlaksana walaupun ianya menyalahi al-quran dan as- sunnah. Inilah bahayanya demokrasi sepertimana demokrasi di Malaysia yang akhirnya akan menyekat undang- undang Allah itu sendiri sepertimana Hukum Hudud sekarang yang masih lagi tidak mampu terlaksana disebabkan 'suara majoriti sekular'ini.

'Demokrasi islam' yang sebenar adalah merujuk pada perlembagaan agung Islam yang sebenar bukannya merujuk 'Perlembagaan Malaysia suruhanjaya Reid'.

Kembalikan islam yang sebenar........

by Muhammad Hafiq

PENDUSTA AGAMA?

Dalam satu hadis Nabi s.a.w menceritakan tentang akhir zaman ada para pembaca al- Quran kerana hendak dapat untung. Ini dapat kita lihat dalam negara kita mereka yang memakai ‘pakaian agama’ dan mengutip wang daripada orangramai kononnya kerana hendak membuat penghantaran pahala kepada si mati.

Mereka membuat untung yang besar saban tahun atas nama al- Quran dan orang menganggap mereka melakukan kebaikan sedangkan Nabi s.a.w menyindir perbuatan ini dengan sabdanya: “Bacalah al-Quran dan mintalah daripada Allah (pahala), kerana selepas kamu akan ada kaum yang membaca al-Quran dan meminta (upah) daripada manusia ” (Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al- Albani).

Dalam sejarah ramai mereka yang menampil watak ‘agama’ tetapi sebenarnya penjenayah agama. Antara yang terkenal ialah Abu ‘Ismah Nuh bin Abi Maryam yang mencipta hadis- hadis dusta kononnya kerana ingin mendapat pahala dengan diadakan hadis-hadis fadilat itu dan ini khususnya tentang surah- surah al-Quran.

Dia digelar Nuh al-Jami’ bermaksud Nuh yang menghimpunkan. Ini kerana dia menghimpunkan ilmu daripada berbagai tokoh-tokoh besar. Namun al-Hafiz Ibn Hibban menyatakan:

“dia menghimpunkan segalanya, kecuali cakap benar ”. (lihat: al- Sayuti, Tadrib al-Rawi, 185, Beirut: Dar al-Fikr).

Pada zahirnya, dia tokoh agamawan namun pada hakikatnya dia sebenarnya pendusta agama. Bukan sedikit orang yang sepertinya dalam sejarah pengumpulan hadis. Kata seorang tokoh pengkaji hadis, Dr. Hammam Sa`id: “Telah zahir golongan ahli ibadat, zuhud dan nussak (penumpu penuh ibadah). Kejahilan dan kebodohan mereka telah membawa mereka mencipta hadis-hadis palsu dalam fadhilat- fadhilat amal, fadhilat surah- surah al-Quran dan solat-solat sunat, untuk menggalakkan orang ramai beramal. Seperti juga mereka mencipta hadis- hadis palsu dalam menakut orang ramai terhadap maksiat.

Mereka menyangka mereka telah membela Islam. Golongan yang jahil ini tidak tahu bahawa pendustaan ke atas RasululLah s.a.w boleh menurunkan mereka ke dalam tingkatan-tingkatan yang paling bawah dalam neraka jahannam ” (Hammam `Abd al- Rahim Sa`id, Al-Tamhid fi `Ulum al-Hadith, m.s. 140, Jordan: Dar al-Furqan). Ini kerana tindakan mereka telah menipu atas nama Nabi s.a.w dan merubah wajah asal agama. Jika dilihat atau dinilai pada zahir ibadah dan pakaian mereka, tentu kita menyangka mereka golongan yang soleh, tetapi di sisi agama mereka adalah para pendusta yang termasuk dalam sabda Nabi s.a.w:

“Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Tahukah kamu siapakah orang yang muflis dari sudut pandangan Islam?

Untuk membuat penilaian yang seimbang atau kesimpulan yang adil bukanlah mudah. Dalam kehidupan ini ramai orang selalu membuat kesimpulan daripada penampilan atau faktor luaran yang mereka lihat semata.

Penilaian yang seimbang atau kesimpulan yang adil berbeza dengan sangkaan baik. Umpamanya, apabila kita melihat mereka yang kuat bersolat, atau berpuasa maka sudah pasti kita wajar bersangka baik terhadapnya.

Namun dalam masa yang sama kita tidak akan membuat kesimpulan bahawa dia adalah pasti ahli syurga, atau pasti orang yang kuat berpegang dengan agama, atau seorang yang soleh. Ini kerana solat dan puasa memanglah amalan yang baik dalam Islam, tetapi Islam bukan sahaja berkaitan soal solat dan puasa, sebaliknya Islam merangkumi pelbagai sudut kehidupan. Jika dia kuat solat dan puasa, tetapi dalam masa yang sama kuat memaki dan mencerca orang, atau menderhakai ibubapanya, atau tidak amanah, atau menzalimi orang lain dan seumpamanya, maka dia bukannya orang yang soleh dalam ertikata sebenar dalam Islam.

Tidakkah kita selalu membaca hadis:

“Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Jawab mereka: “Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta ”.

Sabda baginda: “Orang yang muflis dalam umatku ialah sesiapa yang datang pada Hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, juga dia pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka ” (Riwayat Muslim).