1. Pemberontak pada bahasa bererti melampaui batas. Pada istilah fuqaha' : seperti yang ditakrifkan oleh Ibn 'Urfah ( bermazhab maliki) sebagai "keengganan mematuhi pemerintah yang sah pada perkara yang bukan maksiat dengan kekerasan. Menderhakai pemerintah adalah haram di sisi syarak, ianya berlandaskan kepada Sabda Rasulullah s.a.w:
"Sesiapa yang enggan mematuhi pemerintah, sesungguhnya ia akan datang pada Hari Akhirat tanpa hujah bagi pihaknya; dan sesiapa yang mati dalam keadaan keluar dari perkumpulan muslimin, maka sesungguhnya ia mati sebagai kematian jahiliyah".
2. Ulama Maliki mentakrifkan pemberontak sebagai sebagai orang-orang yang berperang kerana sesuatu alasan (ta'wil), umpamanya golongan-golongan yang sesat seperti Khawarij dan lain-lain. Mereka mengingkari pemerintah, enggan mematuhi pemerintah, ataupun mengingkari mana-mana kewajipan mereka seperti membayar zakat dan sebagainya.
3. Manakala ulama Hambali pula mentakrifkan pemberontak sebagai "orang-orang yang menentang pemerintah, walaupun yang tidak adil dengan alasan (ta'wil) yang harus serta mempunyai kekuatan meskipun tanpa ketua yang dipatuhi. Menentang pemerintah tetap diharamkan sekalipun ia tidak adil.
Hukuman Terhadap Pemberontak
4. Apabila golongan pemberontak tidak mempunyai benteng pertahanan, maka pemerintah berhak menangkap dan menahan mereka sehingga mereka bertaubat.
5. Seandainya mereka (pemberontak) telah bersiap sedia untuk berperang dan mereka mempunyai benteng pertahanan dan kekuatan senjata, pemerintah hendaklah menyeru mereka supaya terus taat kepada negara Islam dan kembali kepada pendapat ramai (majoriti) terlebih dahulu seperti yang dilakukan terhadap musuh. Jika mereka masih enggan, maka pemerintah (ahl al-Adl) hendaklah memerangi, mengalahkan dan membunuh mereka. Selain itu diharuskan membunuh para pentadbir serta menawan dan mencederakan mereka menurut ulamak hanafi. Sebaik-baiknya pemerintah tidak memulakan memerangi mereka sehinggalah mereka memulakannya kerana memerangi mereka adalah untuk menolak kejahatan mereka.
Firman Allah s.wt , Surah al-Hujurat : Ayat 9, bermaksud: "Dan jika dua puak daripada orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya: jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka perangilah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara): sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil".
6. Adalah tidak mengapa memerangi pemberontak dengan senjata mereka sendiri, dan mengambil manfaat dengan kuda-kuda mereka jika orang-orang Islam memerlukannya, kerana pemerintah berhak berbuat demikian terhadap harta rakyat yang taat ketika perlu, apatah lagi pada harta orang yang zalim. Harta benda mereka yang zalim (pemberontak) ini perlu ditahan oleh pemerintah sehingga terhapusnya pemberontakan mereka. Apabila pemberontakan telah reda, ia dikembalikan semula kepada mereka.
Sumber rujukan : Fiqh dan Perundangan Islam, DR. Wahbah Al-Zuhaili, DBP- 2001
No comments:
Post a Comment