http://khayra-ummah.blogspot.com/
Malam.
Panas dan haus.
Cuaca yang sedikit panas dan rasa haus yang mengganggu akhirnya mendorong saya mencari sumber air untuk diminum.
“Nak air ni boleh?”
Saya meminta kepada rakan yang sedang tekun mengulangkaji.
Teh Ahmad yang kelihatan sedap itu sudah separuh jug berada di tepinya, menanti untuk diminum. Gelas berisi teh di tepinya dicapai. Belum sempat air itu menjejaki ruang tekak, tiba-tiba seekor lalat terlebih dahulu menjamahnya.
“Alamak…ada makhluk ni la…,” adu saya kepadanya. Saya sudah senyum-senyum, teringatkan sesuatu.
“Erm…takpelah Chaq. Buanglah…,” usulnya lagi. Saya renung air dalam gelas. Lalat tengah berenang-renang di dalamnya.
“Nabi kata, kalau lalat masuk air; celup lalat tu sebelum dibuang. Sebelah sayap tu ada racun, sebelah tu lagi penawar. ”
Saya membulatkan mata melihat dia. Dia senyum; angguk lagi. “Takpelah Chaq. Buanglaaah…,” pintanya lagi.
Tunduk sambil terkulat-kulat dengan senyum simpul. Gelilah tu. Akhirnya saya menuju ke dapur sambil ketawa kecil dengan gelagatnya, sebelum membuang Ahmad Tea yang memang ummph!
OUR SENSES; ARE TO MAKE SENSE!
Musca domestica atau lalat rumah (House fly) mampu terbang sejauh 1 hingga 5 kilometer dan mampu mencapai sehingga 20 kilometer jauhnya. Kerana kekerapannya membuang najis dalam bentuk cecair, maka ia memerlukan air secara kerap untuk menggantikan semula cecair yang hilang dari badan. Pada musim panas begini, tidak hairanlah si kecil ini kelihatan di sini-sana; sibuk mencari air untuk proses survival.
Bayangkan apabila si kecil ini merampas cebisan-cebisan makanan (roti misalnya) dari tangan anda, mampukah anda mengejarnya sejauh 20 km untuk menuntut semula hak itu?
“Wahai manusia, telah dibuat perumpamaan, maka dengarkanlah olehmu perumpamaan itu. Sesungguhnya segala yang kamu seru selain Allah sekali-kali tidak dapat menciptakan seekor lalatpun, walaupun mereka bersatu menciptakannya. Dan jika lalat itu merampas sesuatu dari mereka, tiadalah mereka dapat merebutnya kembali dari lalat itu. Amat lemahlah yang menyembah dan amat lemah (pulalah) yang disembah. ” (Al-Hajj;73)
Hakikatnya si kecil inilah yang bertugas sebagai vector (pembawa penyakit) kepada manusia, melalui proses penyebaran (mechanical transmission) yang dilakukannya. Sakit mata (Trachoma), Taun (Cholera), Demam Kepialu (Thyphoid fever) dan Cirit-birit (Bacillary Dysentery) adalah antara penyakit yang mampu disebarkannya. Dan kenyataan bahawa sebelah sayapnya lagi mempunyai penawar tidak dapat dinafikan apabila pada perang dunia kedua para pakar bedah menggunakan lalat dalam peringkat larva untuk merawat luka. Mungkin kita memandang lalat itu sebagai makhluk yang kecil, lemah lagi remeh. Sedangkan wahyu mengemukakan perumpamaan dalam bentuk cabaran untuk menciptakan makhluk kecil yang canggih itu, dan sudah semestinya tidak akan mampu disahut. Demikianlah deria penglihatan yang ada pada tiap-tiap manusia gunanya untuk memerhati petunjuk kebesaran Allah, supaya dengannya mereka mampu mencapai keyakinan.
Dan dengan akal yang fungsinya untuk berfikir itu dapatlah mereka mengesahkan kebenaran wahyu di akhir zaman ini. Begitulah asas dalam ilmu Sains yang banyak menitikberatkan pemerhatian demi pemerhatian. Maka kerana itulah manusia dijadikan mendengar dan melihat, untuk menguji dirinya pada banyak keadaan.
Deria-deria kurniaan Allah itulah yang membawanya kepada peringkat yang lebih tinggi; iaitu sekadar menjadi hamba. Setinggi-tinggi darjat manusia itu ialah apabila dia menyedari dirinya adalah sekadar hamba!
"wahai Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab api neraka ”
Demikianlah tiap-tiap sesuatu sudah dicipta dengan fungsinya…
TAHU TAKUT…
“Oh…dia mau further study dalam bidang Fizik Islam,” ujar teman serumah, yang pada ketika itu bercerita tentang rakan yang lain. Saya mengerutkan kening. “Kenapa, ada Fizik kafirkah?” Saya bertanya, separuh berseloroh. Geleng kepala, sambil senyum-senyum.
‘Itulah pasal,” balasnya pula; dengan dahi berkerut juga. Kami ketawa serentak. Soalnya bukan ilmu itu yang Islam atau tidak, yang lebih dititikberatkan adalah mereka yang memiliki pengetahuan itu sendiri. Dengan pengetahuan itulah dia mampu mengIslamkan dirinya dan persekitarannya. Dengan pengetahuan itulah dia menimbulkan rasa takut dalam dirinya. Tahu yang membawa takut.
Tahu takut namanya … Bukan sedikit orientalis Barat yang mempelajari Islam, menghafaz Al-Quran dan hadis; tetapi mereka tidak memilih Islam pada akhirnya. Wallahu 'alam.
No comments:
Post a Comment