Apabila tibanya bulan
Ramadhan, sebagaimana biasa
kita akan mendengar satu hadis
yang sering dibacakan oleh para
ustaz di masjid-masjid atau
diperdengarkan kepada
khalayak ramai iaitu hadis yang
datang dari Abu Hurairah RA
yang bermaksud :
"Sesungguhnya Nabi SAW telah
bersabda : Apabila tibanya bulan
Ramadhan, dibuka pintu-pintu
syurga, dan ditutup pintu-pintu
neraka dan dibelenggu syaitan-
syaitan.." Hadis ini diriwayatkan
Bukhari dan Muslim. Imam
Muslim Rahimahullah menyebut
hadis ini dalam kitab Shiam
(Puasa) dan begitu juga dengan
Imam Bukhari yang meletakkan
hadis di dalam kitab Shaum
(Puasa). Namun lafaz yang
dibawa oleh Imam Bukhari
berlainan dari Muslim walaupun
dari periwayat yang sama iaitu :
"Apabila tibanya bulan
Ramadhan, dibuka pintu-pintu
langit, dan ditutup pintu-pintu
jahannam dan dirantai syaitan-
syaitan.." Namun, perbezaan
lafaz ini tidak membawa kepada
perbezaan makna hadis.
Persoalannya : Adakah syaitan
benar-benar dirantai di bulan
Ramadhan sehingga tidak dapat
menjalankan aktivitinya seperti
biasa? Kalau ini yang terjadi,
bagaimana pula yang berlaku
pada hari ini di mana dilihat
kemaksiatan yang berlaku di
bulan Ramadhan tidak kurang
hebatnya daripada yang berlaku
di bulan yang lain? Atau adakah
rantai tersebut hanyalah satu
simbolik (majaz)?
Menurut pendapat Imam
Nawawi Rahimahullah di dalam
syarahnya menyebut bahawa
proses perantaian tersebut
hanyalah satu simbolik atau
majaz untuk menunjukkan
betapa syaitan sudah tidak
mampu untuk melaksanakan
tugasnya seperti biasa
memandangkan orang-orang
Islam sudahpun berpuasa. Ini
kerana, puasa yang dilakukan
oleh orang-orang Islam akan
menyempitkan saluran darah
yang menjadi laluan syaitan dan
akan berkuranglah nafsu yang
merajai hati manusia selama ini.
Oleh kerana itu, syaitan tidak
dapat menjalankan tugasnya
dan keadaan ini menyebabkan
dirinya bagaikan di'rantai'.
Dalam erti kata lain, puasalah
yang menjadi punca kepada
perantaian ini dan kepada
orang-orang yang tidak
melaksanakan ibadat puasa,
pengaruh syaitan ke atas dirinya
samalah seperti bulan-bulan
yang lain.
Walau bagaimanapun, Imam
Nawawi sendiri tidak menolak
kemungkinan maknanya yang
zahir iaitu syaitan-syaitan
benar-benar dirantai pada bulan
Ramadhan bagi menandakan
kemuliaan bulan Ramadhan.
Manakala hakikat yang terjadi
pada hari ini di mana ramai
orang-orang yang berpuasa
tetap meneruskan kemaksiatan
ialah kerana puasa mereka tidak
menepati syarat-syarat dan
tidak dihayati sebagaimana
yang sepatutnya. Apabila puasa
tidak dihayati sepenuhnya,
pengaruh syaitan akan tetap
berkekalan sekalipun syaitan
sendiri sudahpun dirantai.
Pendapat ini dipegang oleh Al-
Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani.
Sebagai kesimpulannya,
pemahaman para ulama'
terhadap hadis ini yang
menyatakan syaitan-syaitan
dirantai terbahagi kepada dua
iaitu memahaminya secara
simbolik ataupun
memahaminya di atas
maknanya yang zahir.
Bagaimanapun, ia sebenarnya
tidak bertentangan antara satu
sama lain. Seandainya seseorang
itu berpuasa dengan sebenar-
benarnya, maka sesungguhnya
dia telah merantai syaitan
daripada mendekati dirinya.
Susunan :
Ahmad Fadhli bin Shaari,
Nilam Puri, Kelantan.
Sumbangan : Anak Melaka
No comments:
Post a Comment