Tuesday, August 17, 2010

Tiada Kebaikan Yang Sia-sia

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar Baginda Rasulullah saw serta para Ahlul Baitnya. Ya Allah, Kau bukakanlah pintu hati ku. Ya Allah, Kau teguhkanlah Iman ku. Ya Allah, Kau berikanlah faham yang sempurna ke atas ku. Ya Allah, Kau turunkanlah Rahmat dan Hidayah-Mu ke seluruh Alam asbab tulisan ku ini.

Allah Maha Kuasa, makhluk tiada sebarang kuasa. Manusia diciptakan ke muka Bumi ini atas maksud yang sama, iaitu untuk menjadi Hamba Yang Mengabdikan diri kepada Allah SWT serta menjadi Khalifah di muka Bumi ini.

Maha Sempurna Allah yang menciptakan segala sesuatu, yang buruk mahupun yang baik. Setiap satunya pasti didatangkan dalam keadaan yang baik disertai yang buruknya atau sebaliknya. Maha Suci Allah yang memberikan kepada kita sedikit dari Ilmu yang Luas ini. Tiada satu pun kebaikan yang sia-sia di muka Bumi ini. Segala sesuatu itu telah ditetapkan oleh Allah swt akan baik dan buruknya.

Suatu hari, seorang murid yang sedang dahagakan ilmu, telah datang berjumpa dengan Guru Mursyidnya. Puas dia mengaji ilmu, tetapi tiada dapat akan ia yang dimahukannya. Maka diajukanlah akan perihal tersebut kehadapan gurunya. Hayatilah kisah ini...


"Apa gunanya kalau saya terus membaca Al-Qur’an tetapi tidak memahaminya?" Tanya murid tersebut. "Bacalah dulu perlahan-lahan, nanti Tok ajarkan maknanya”, jawab gurunya.

Murid itu terus membaca. Hari demi hari, bulan demi bulan, lama-kelamaan dia berasa jemu dan datang menemui gurunya semula.

"Tok, saya merasakan usaha membaca tanpa memahami makna Al-Qur’an adalah perkara yang tidak berfaedah." Kata murid tersebut.

"Baiklah, Tok akan menyuruh kamu lakukan satu perkara yang bermakna." Kata Tok Guru tersebut.

Wajah murid tersebut kembali ceria. Tok Guru menyerahkan sebuah raga arang (bekas yang digunakan untuk menyimpan arang oleh orang dahulu) yang kotor kepada anak muridnya seraya berkata,

"Kamu cedok air di sungai itu dengan raga ini kemudian bawakan raga ini beserta airnya kembali ke Madrasah kita, kemudian tuangkan airnya ke dalam baldi ini.” Kata Tok Guru tersebut kepada anak muridnya sambil menunjukkan baldi kosong yang terdapat dihadapannya.

Si murid kehairanan, tetapi tanpa bertanya terlebih dahulu, lalu terus ke sungai mencedok air dan bergegas lari untuk menuangkan air itu ke dalam baldi. Namun sebaik tiba, air telah habis menitis keluar dari celah raga dan kolah tidak dapat dipenuhi. (Kenyataan ini bukan menunjukkan kebodohan seorang murid yang menuntut ilmu, tetapi ia sebagai perumpamaan kepatuhan kepada guru yang wajib ditaati selagi tidak bertentangan)

"Tok, perbuatan ini tidak bermakna! Kalau ia diganti dengan timba, pasti ia dapat menampung air". Kata muridnya lagi.

Si Guru tersenyum seraya berkata, "Setiap yang Tok suruh pasti ada maknanya."

"Apa maknanya Tok?" Soal anak muridnya kehairanan.

Guru itu menjawab, "Menimba air dengan raga, Samalah dengan membaca Al-Qur’an walaupun tidak memahami maknanya. Cuba kamu lihat raga yang kamu gunakan tadi, Mulanya kotor, Tapi sekarang bukankah ia sudah bersih?"

“Betul Tok! Memang sudah bersih sekarang."

“Ha, begitu jugalah hati kamu ketika membaca Al-Qur’an. Walaupun tidak memahami maknanya, paling tidak hati itu telah dibersihkan dari kelalaian dan gangguan Syaitan." Tambah Tok Guru dengan penuh hikmah.

“Astaghfirullah, betullah kata Tok, Maafkan saya Tok." Anak murid itu membenarkan seraya memohon ampun diatas kesilapannya kepada Tok Guru.

Hebat rupanya guru mursyidnya, mengajar dengan penuh hikmah, setiap bait kata-katanya adalah bermakna. Tetapi, hebat lagi Allah yang menjadikan ayat-ayat cinta-Nya (Al-Qur’an) yang begitu sempurna untuk dibaca serta dihafal walau tanpa memahami maksud dan maknanya.


Allah Maha Kuasa, makhluk tiada sebarang kuasa. Hebatnya orang yang membaca dan menghafal Al-Qur’an tanpa memahami maksud dan makna setiap bait ayat-ayat Al-Qur’an, tetapi hebat lagi orang yang membaca Al-Qur’an sambil memahami makna dan maksud setiap bait ayat-ayat cinta-Nya serta menghafalnya. Maha Sempurna Allah yang menciptakan segala sesuatu.


Atas maksud ini, belajarlah kita walau sekelumit ilmu. Yakinlah kita bahawa segenap ilmu Allah itu ada manfaatnya, Ilmu Allah itu sangat luas! Perumpamaan ilmu milik kita dan beza dengan Ilmu Allah adalah hanya pecahan dari setitis air yang menitik dari jarum yang dicelupkan ke dalam lautan luas. Ilmu Allah itu pula adalah meliputi segenap jurus air lautan tersebut.


Yakinlah, Tiada Kebaikan Yang Sia-sia! Carilah ia disegenap pelusuk bumi ini dalam mencari KeRedhaan Ilahi. InsyaAllah, segala perkara baik yang kita perolehi, dapat kita amal dan sampaikan. Wallahua’lam, Sekian Wassalam.

No comments: