Oleh Ustaz Zahazan Mohamed
Solat Tarawih boleh dibuat lapan atau 20 rakaat bergantung keputusan imamSoalan:
SAYA ingin bertanya mengenai isu rakaat Tarawih yang sering diperkatakan apabila tibanya Ramadan. Mengikut apa yang saya fahami, bilangan rakaat Tarawih sebanyak 11 rakaat adalah sunnah. Tetapi mengapa imam Masjid Nabawi dan Masjidilharam melakukan 20 rakaat? Kenapa mereka berbeza dengan sunnah? Absyar,
Click Here
Terengganu
Jawapan:
AMAT malang bagi umat Islam sekiranya isu ini mengakibatkan perpecahan, perbalahan dan fitnah di kalangan umat Islam.
Kita tidak sepatutnya bersikap melampau atau jahil. Sesetengah umat Islam bersikap melampau dalam mengikut bilangan yang disebutkan oleh sunnah dan mengatakan tidak boleh melebihi angka itu. Mereka secara agresif mengutuk kumpulan yang melakukan lebih dari bilangan itu dengan mengatakan orang itu berdosa.
Ini satu sikap yang salah. Bagaimana ia boleh jadi berdosa sedangkan Rasulullah SAW ketika ditanya mengenai solat malam, Baginda berkata ia dilakukan dua rakaat dan Baginda tidak menyebut bilangan tertentu. Oleh itu, Baginda hanya memberitahu cara melakukan solat, tetapi tidak bilangan rakaat.
Apa yang boleh dikatakan dan difahami, sesungguhnya perkara ini luas perbahasannya. Jika mampu, seseorang boleh melakukan 100 rakaat kemudian melakukan solat witir satu rakaat. Berhubung dengan sabda Baginda SAW: “Solatlah kamu sebagai mana kamu melihat aku solat,” ini juga tidaklah bermaksud untuk menetapkan bilangan.
Apa yang dimaksudkan di sini ialah mengerjakan solat mengikut cara Baginda mengerjakannya, bukan mengikut bilangan rakaat tertentu. Kecuali jika ada hadis yang secara jelas menyatakan bilangan rakaat itu.
Apabila imam sebuah masjid melakukan lapan rakaat, maka hendaklah kita mengikutinya. Begitu juga sekiranya dilakukan 20 rakaat, maka hendaklah juga kita mengikutinya supaya kita tidak terlepas ganjaran besar yang dijanjikan.
Bukankah Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis riwayat al-Tirmizi menyebut: “Sesiapa berdiri bersama imam sehingga tamat (selesai solat) ganjaran Qiamulail akan dicatat untuknya.”
Ibnu Qudamah menyebut dalam al-Mughni iaitu: “Pandangan yang disenangi oleh Abu Abdullah (Imam Ahmad) ialah 20 rakaat. Ini juga adalah pandangan al-Thauri, Abu Hanifah dan Syafie. Imam Malik berkata, bilangan rakaatnya 36.
Bagi mereka yang mengatakan hanya lapan rakaat, iaitu mereka menjadikan dalil daripada hadis Riwayat Imam Bukhari daripada Abu Salamah bin Abdul Rahman, beliau bertanya Aisyah: “Bagaimana Rasulullah SAWsolat dalam bulan Ramadan?” Aisyah menjawab, “Baginda tidak melakukan solat melebihi sebelas rakaat pada bulan Ramadan dan masa-masa lain. Baginda akan solat empat rakaat dan janganlah bertanya betapa khusyuk dan panjangnya solat-solat itu. Kemudian Baginda mengerjakan empat rakaat dan janganlah bertanya betapa khusyuk dan panjangnya solat-solat itu. Kemudian Baginda akan menunaikan tiga rakaat. Aku bertanya, Ya Rasulullah, adakah engkau tidur sebelum witir? Baginda menjawab, Wahai Aisyah, mataku tidur, tetapi hatiku tidak.”
Merujuk pandangan empat imam mengenai bilangan rakaat Tarawih, semua berpendapat bilangan lebih daripada 11 rakaat. Alasannya, mereka menganggap hadis itu bukan menentukan bilangan rakaat solat malam. Kalangan ulama pula berpendapat, jika imam mengerjakan solat panjang denganbilanganrakaat sedikit, mungkin mendatangkan perasaan tidak suka terhadap amalan itu. Jadi, kalangan imam hendak menjadikan solat lebih pendek dan bilangan rakaatnya bertambah.
Imam Suyuti mengatakan tidak ada dalil menunjukkan solat Tarawih 20 rakaat. Baginda mengerjakan tanpa menetapkan bilangan khusus.
Justeru, janganlah terkejut jika ada yang melakukan solat Tarawih sehingga 20 rakaat. Kalangan ulama dari generasi ke generasi sudah melakukannya dan semua pendapat ini adalah baik.
Wallahua’lam.
http://darululumonline.wordpress.com
No comments:
Post a Comment