Friday, August 6, 2010

PENGERTIAN JANJI ALLAH SWT

JANGAN SAMPAI MERAGUKAN KAMU TERHADAP JANJI ALLAH
KERANA TIDAK TERLAKSANA APA YANG TELAH DIJANJIKAN, MESKIPUN
TELAH TERTENTU (TIBA) MASANYA, SUPAYA KERAGUAN ITU TIDAK
MEROSAKKAN MATA HATI KAMU DAN TIDAK MEMADAMKAN CAHAYA SIR
(RAHSIA ATAU BATIN) KAMU.
Doa dan janji Allah s.w.t berkait rapat. Allah s.w.t menjanjikan untuk
menerima semua doa. Hamba sudah sangat kuat dan kerap berdoa.
Hamba mendoakan agar diselamatkan daripada sesuatu musibah.
Masa musibah itu sampai sudah tiba tetapi keselamatan daripadanya
tidak tiba. Timbul keraguan dalam hati hamba itu tentang janji-janji
Allah s.w.t.
Sebahagian orang beriman diuji dengan penerimaan atau penolakan
doa dan sebahagian yang lain diuji dengan tertunai atau tertahan
janji Allah s.w.t. Janji Allah s.w.t ada dalam bentuk umum dan ada
dalam bentuk khusus. Janji umum banyak terdapat di dalam al-
Quran seperti janji syurga terhadap orang yang berbuat kebajikan,
janji neraka terhadap orang yang derhaka, janji ketinggian darjat
bagi orang yang berjihad pada jalan Allah s.w.t, janji kekuasaan di
atas muka bumi terhadap orang yang beriman dan beramal salih
dan lain-lain lagi. Di dalam surah an-Nisaa ’ ayat 95 Allah s.w.t
menjanjikan ganjaran yang besar kepada orang yang berjihad pada
jalan-Nya. Dalam surah an-Nur ayat 55 Allah s.w.t menjanjikan
kepada orang yang beriman dan beramal salih bahawa mereka akan
dijadikan khalifah di bumi, Dia akan teguhkan agama mereka dan Dia
akan hilangkan ketakutan mereka.
Banyak lagi janji Allah s.w.t yang boleh ditemui di dalam al-Quran.
Janji-janji Allah s.w.t secara umumnya berkaitan dengan amal, sesuai
dengan sunnatullah yang menguasai perjalanan kehidupan. Ada juga
janji secara khusus kepada orang-orang tertentu, misalnya melalui
mimpi atau suara ghaib. Orang yang beriman dengan Allah s.w.t
percaya kepada janji-janji-Nya. Janji Allah s.w.t menjadi pendorong
kepada mereka untuk bekerja kuat, beramal salih dan berjihad pada
jalan-Nya. Allah s.w.t tidak sekali-kali akan memungkiri janji-janji-
Nya. Di dalam golongan yang percaya kepada janji-janji Allah s.w.t
itu ada sebilangan yang berpenyakit seperti yang dihidapi oleh
sebilangan orang yang berdoa kepada Allah s.w.t. Orang yang
berdoa membuat tuntutan dengan doanya dan orang yang percaya
kepada janji Allah s.w.t membuat tuntutan dengan amalnya, kerana
Allah s.w.t berjanji memberinya sesuatu menurut amalannya.
Hikmat ketujuh mengaitkan janji Allah s.w.t dengan mata hati dan
Nur Sir (Rahsia atau batin). Persoalan mata hati telah disentuh pada
Hikmat ke lima. Penyingkapan rahsia mata hati menemukan kita
dengan persoalan diri zahir, diri batin dan seterusnya kepada
persoalan roh. Suluhan mata hati membawa kepada pengenalan
terhadap Alam Barzakh dan keabadian. Mata hati yang kuat tidak
berhenti setakat Alam Barzakh, malah ia menghala kepada peringkat
alam yang lebih tinggi yang dinamakan Alam Malakut Atas.
Pandangan mata hati seterusnya sampai kepada kulit alam yang
dinamakan Arasy Yang Meliputi. Semua makhluk Allah s.w.t
menghuni ruang yang di dalam atau dibatasi oleh kulit atau
kerangka alam, iaitu Arasy. Tidak ada mahluk yang wujud di luar dari
kulit alam. Walaupun kulit alam merupakan kejadian Tuhan yang
paling luar namun, mata hati tidak berhenti setakat itu. Mata hati
terus meneroka ‘di luar’ dari kulit alam, yang dipanggil Wujud
ketuhanan. Di sini timbul persoalan berat dan rumit untuk
dihuraikan. Semua kejadian berada di dalam kulit alam. Kulit alam
adalah yang terakhir. Apabila sampai kepada kulit alam tidak boleh
lagi dikatakan wujud alam ketuhanan di luar, selepas, di sebalik dan
istilah-istilah lain, kerana tidak ada apa-apa lagi. Kewujudan
ketuhanan bukanlah satu jenis alam lain. Tidak boleh dikatakan
wujud alam ketuhanan selepas alam kita ini. Allah s.w.t Berdiri
Dengan Sendiri, tidak menempati ruang. Jika demikian persoalannya
bagaimanakah yang dikatakan ketuhanan sedangkan kita sudah
menjelajah ke seluruh alam maya namun, Allah s.w.t tidak juga
ditemui?
Anuar Rani
at 11:25
Antara alam yang sementara dengan alam abadi terdapat Alam
Barzakh. Barzakh adalah sempadan. Barzakh itulah yang
menghubungkan dua keadaan yang berbeza. Misalnya, barzakh bagi
laut dan sungai ialah kuala. Air laut adalah masin dan air sungai
adalah tawar. Air pada barzakh keduanya iaitu kuala adalah sebatian
masin dengan tawar yang dinamakan payau. Payau bukan masin
dan bukan lain daripada masin. Payau juga bukan tawar dan bukan
lain daripada tawar. Kuala bukan laut dan bukan sungai dan bukan
juga lain daripada laut dan sungai. Jika mahu lihat laut dan sungai
dengan sekali pandang atau sebagai satu kewujudan maka lihatlah
kepada kuala. Jika mahu merasai masin dan tawar sekaligus maka
rasailah air payau.
Jika terdapat barzakh di antara makhluk dengan makhluk, terdapat
juga barzakh di antara Tuhan dengan makhluk. Barzakh inilah yang
menjadi penghubung di antara Tuhan dengan hamba. Tanpa barzakh
ini tidak mungkin berlaku kewujudan makhluk yang diciptakan
Tuhan kerana tidak ada talian atau jambatan yang menghubung.
Barzakh di antara Allah s.w.t dengan hamba itu dinamakan Sir atau
Rahsia, iaitu Rahsia Allah s.w.t, yang hanya Allah s.w.t yang
mengetahui hakikatnya yang sebenar. Rahsia inilah yang
memungkinkan ada hubungan di antara Pencipta dengan yang di
cipta. Sir atau Rahsia itu memancarkan nurnya kepada mata hati.
Mata hati yang bersuluhkan Nur Sir (rahsia ketuhanan) akan
mendapat pengenalan tentang Sir dan mengalami suasana tauhid
peringkat yang tertinggi. Apabila hakikat Sir ditemui nyatalah firman
Allah s.w.t:
Dan Kami adalah lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya, -
( Ayat 16 : Surah Qaaf )
Dan Ia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada.
( Ayat 4 : Surah al-Hadiid )
“Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu
perbuat itu!”( Ayat 96 : Surah as-Saaffaat )
Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai
sesuatu pun), kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan
yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam. ( Ayat 29 : Surah
at-Takwiir)
Tiada daya dan upaya kecuali beserta Allah.
Apa yang ada pada kita semuanya adalah kurniaan dari Allah s.w.t.
Kemahuan kita untuk melakukan amal salih datangnya dari Iradat
Allah s.w.t, tanpa Iradat Allah s.w.t kita akan menjadi dungu, tidak
berkemahuan. Apabila kita melakukan amal kebaikan, kita tidak
terlepas daripada menggunakan daya dan upaya yang datangnya
dari Allah s.w.t. Tanpa Kudrat Allah s.w.t kita tidak mampu bergerak.
Kebolehan kita untuk berdoa dan beramal adalah kurniaan daripada
Allah s.w.t.
Mereka mengira dirinya berbudi kepadamu (wahai Muhammad)
dengan sebab mereka telah Islam (tidak melawan dan tidak
menentang). Katakanlah (kepada mereka): “Jangan kamu mengira
keislaman kamu itu sebagai budi kepadaku, bahkan (kalaulah sah
dakwaan kamu itu sekalipun maka) Allah jualah yang berhak
membangkit-bangkitkan budi-Nya kepada kamu, kerana Dialah yang
memimpin kamu kepada iman (yang dakwakan itu), kalau betul
kamu orang-orang yang benar (pengakuan imannya). ( Ayat 17 :
Surah al-Hujuraat )
Kehendak dan perbuatan kita adalah anugerah daripada Allah s.w.t.
Jadi, apakah hak kita untuk menuntut Allah s.w.t dengan doa dan
amal kita. Memang benar Allah s.w.t berjanji untuk mengabulkan
semua doa dan mengurniakan sesuatu menurut amalan. Tetapi,
tidak ada makhluk-Nya yang layak menagih janji tersebut. Janji Allah
s.w.t kembali kepada diri-Nya Sendiri. Jangan cuba-cuba menuntut
janji Allah s.w.t kerana andainya Dia menuntut kamu dengan
amanah yang dipertaruhkan kepada kamu nescaya semua amalan
kamu akan hancur berterbangan seperti debu, tidak ada walau
sebesar zarah pun yang layak dipersembahkan kepada-Nya apabila
kamu dihadapkan kepada keadilan-Nya.
Lantaran itu berteduhlah di bawah payung rahmat dan keampunan-
Nya, jangan diungkit-ungkit tentang amal kamu dan janji-Nya.
Contohilah akhlak Rasulullah s.a.w yang telah menerima janji Allah
s.w.t iaitu baginda s.a.w telah bermimpi memasuki kota Makkah.
Kaum muslimin percaya bahawa mimpi Rasulullah s.a.w adalah
mimpi yang benar dan mereka yakin bahawa itu adalah janji Allah
s.w.t kepada Rasul-Nya, yang Dia mengizinkan mereka bersama-
sama memasuki kota Makkah sekalipun musyrikin Quraisy masih
menguasai kota tersebut. Kaum muslimin berangkat dari Madinah ke
Makkah. Rombongan mereka dihadang sebelum sampai di Makkah.
Kaum musyrikin enggan membenarkan kaum muslimin memasuki
Makkah. Ekoran dari peristiwa itu termetrailah Perjanjian Hudaibiah.
Rasulullah s.a.w bersetuju agar kaum muslimin tidak memasuki
Makkah pada tahun itu. Saidina Umar al-Khattab r.a yakin akan
mimpi Rasulullah s.a.w. Beliau r.a juga percaya bahawa mimpi
Rasulullah s.a.w itu adalah janji Allah s.w.t mengizinkan mereka
memasuki kota Makkah. Beliau r.a juga yakin bahawa lantaran janji
Allah s.w.t adalah benar maka bertegas memasuki Makkah walaupun
dengan cara berperang adalah tindakan yang benar. Beliau r.a
menganjurkan agar berperang supaya kebenaran mimpi Rasulullah
s.a.w dan kebenaran janji Allah s.w.t menjadi kenyataan. Iman Umar
r.a yang sangat mendalam membuatnya mahu maju terus menurut
petunjuk yang sampai kepada beliau r.a. tanpa menoleh ke kanan
atau ke kiri. Saidina Abu Bakar as-Siddik yang Nur Sirnya lebih
sempurna daripada Nur Sir Umar r.a bersikap menyetujui tindakan
Rasulullah s.a.w memetrai Perjanjian Hudaibiah. Melalui suluhan Nur
Sirnya Abu Bakar r.a dapat menyaksikan apa yang terlindung dari
pandangan mata hati Umar r.a.
Kemudian ternyata perjanjian tersebut banyak memberi manfaat
kepada kaum muslimin. Ternyata kebijaksanaan Rasulullah s.a.w
memetrai Perjanjian Hudaibiah dan kebenaran pandangan mata hati
Abu Bakar r.a melalui pancaran Nur Sirnya. Sesuai dengan Perjanjian
Hudaibiah, pada tahun berikutnya kaum muslimin dapat memasuki
kota suci Makkah secara aman. Benarlah apa yang dimimpikan oleh
Rasulullah s.a.w dan benarlah janji Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w
menerima janji Allah s.w.t sebagai satu kurniaan yang wajib diyakini
dengan cara bertawakal kepada Allah s.w.t dalam pelaksanaannya.
Bila terjadi sesuatu yang pada zahirnya menghalang pelaksanaan
janji Allah s.w.t itu Rasulullah s.a.w tidak menagih Allah s.w.t dengan
janji tersebut, sebaliknya baginda s.a.w mengembalikannya kepada
Allah s.w.t. Sebagai balasan terhadap kerelaan menerima takdir Allah
s.w.t maka Allah s.w.t kurniakan pula Perjanjian Hudaibiah yang
banyak membantu perkembangan dakwah Islam. Allah s.w.t juga
tidak sekali-kali melupakan janji-Nya mengizinkan kaum muslimin
menziarahi tanah suci Makkah, dengan rahmat-Nya kaum muslimin
memasuki kota Makkah pada tahun berikutnya dalam suasana aman.
Jadi, apabila janji Allah s.w.t dikembalikan kepada Allah s.w.t maka
Allah s.w.t melaksanakannya.

No comments: