Friday, August 6, 2010

Allah Tidak Jauh, Doa SentiasaMustajab

Allah Tidak Jauh, Doa Sentiasa
Mustajab
untuk bacaan bersempena
dengan Ramadhan ini**
ANTARA tanda kasih sayang dan
rahmat Allah kepada hamba-
hamba-Nya adalah Dia tidak
mewujudkan sebarang halangan
untuk seorang hamba memohon
kepada-Nya. Insan diperintahkan
berhubung langsung dengan
Allah tanpa sebarang ‘broker’
dalam hubungan yang suci itu.
Tiada sebarang perantaraan
antara Allah dan hamba-hamba-
Nya.
Islam menolak segala unsur
keberhalaan yang menjadikan
makhluk sebagai tuhan jelmaan
menggantikan tuhan yang hakiki.
Islam menganggap perbuatan
memohon kemakbulan doa dari
makhluk adalah syirik. Tidak kira
siapa pun makhluk itu. Sama ada
dia nabi ataupun wali.
Seorang muslim tidak diizinkan
pergi ke kubur mereka dan
menyeru: wahai fulan tolonglah
saya! Atau: Wahai nabi tolonglah
tenteramkan jiwa saya! Atau:
Wahai wali sembuhkanlah
penyakit saya!
Perbuatan itu adalah syirik.
Mukmin hanya meminta doa
daripada Allah. Firman Allah:
(maksudnya)
Dan tiada yang lebih sesat dari
orang yang menyeru selain Allah,
yang tidak dapat menyahut
seruannya sehinggalah ke hari
kiamat, sedang mereka
(makhluk-makhluk yang mereka
sembah itu) tidak dapat
menyedari permohonan
tersebut. Dan apabila manusia
dihimpunkan (untuk dihitung
amalan pada hari akhirat), segala
yang disembah itu menjadi
musuh (kepada orang-orang
yang menyembahnya) dan
membantah mereka (surah al-
Ahqaf: 5-6).
Firman Allah: (maksudnya)
Allah jua yang memasukkan
malam kepada siang dan
memasukkan siang kepada
malam (silih berganti), dan Dia
yang memudahkan peredaran
matahari dan bulan; tiap-tiap
satu dari keduanya beredar
untuk suatu masa yang telah
ditetapkan. Yang melakukan
semuanya itu ialah Allah Tuhan
kamu, bagi-Nyalah kuasa
pemerintahan; sedangkan
mereka yang kamu sembah
selain Allah itu tidak mendengar
permohonan kamu, dan kalaulah
mereka mendengar pun, mereka
tidak dapat memperkenankan
pemohonan kamu; dan pada hari
kiamat pula mereka mengingkari
perbuatan syirik kamu. Dan
(ingatlah) tiada yang dapat
memberi tahu kepadamu (Wahai
Muhammad, akan hakikat yang
sebenarnya) seperti yang
diberikan Allah Yang Maha
mendalam pengetahuan-Nya
(surah Fatir: 13-14).
Maka perbuatan memohon selain
Allah, sama ada menyeru berhala
secara terang atau memanggil
nama para wali seperti Abdul
Qadir al-Jailani atau wali ‘songo’
atau apa sahaja termasuk dalam
kerja-kerja syirik yang
diharamkan oleh nas- nas al-
Quran dan al-sunah.
Nabi s.a.w. begitu menjaga
persoalan akidah ini. Daripada
Ibn ‘Abbas:
“Bahawa seorang lelaki berkata
kepada Nabi s.a.w: “Apa yang
Allah dan engkau kehendaki.”
Maka baginda bersabda
kepadanya: Apakah engkau
menjadikanku sekutu Allah,
bahkan (katakan): apa yang
hanya Allah kehendaki. (Riwayat
al-Imam Ahmad dinilai sahih oleh
Al-Albani, Silsilah al-Ahadith al-
Sahihah, 1/266).
Bandingkanlah ketegasan Nabi ini
dengan ajaran sesetengah guru
tarekat atau sufi yang
mencetuskan segala unsur
keajaiban pada diri mereka agar
dikagumi oleh pengikutnya.
Akhirnya, mereka seakan Tuhan
yang disembah, atau wakil Tuhan
yang menentukan penerimaan
atau penolakan amalan
pengikutnya. Bahkan untung rugi
nasib masa depan pengikut pun
seakan berada di tangan mereka.
Demikian juga, pengikut yang
melampau, berlebih-lebihan
memuja tokoh agama, akhirnya
boleh terjerumus kepada
kesyirikan. Terlampau memuja
tokoh seperti itulah yang
menyebabkan banyak individu
dianggap keramat dan suci
sehingga dipanggil ‘tok keramat’
lalu mereka seakan
dimaksumkan. Kemudian, datang
pula orang-orang jahil ke kubur
mereka membayar nazar atau
meminta hajat mereka
ditunaikan. Sehingga apabila
saya ke Urumuqi di China, ada
satu gua yang kononnya
dianggap tempat Ashabul Kahfi
yang disebut dalam al-Quran itu.
Ramai yang pergi melakukan
kesyirikan dengan meminta hajat
di situ. Saya beritahu bahawa
dalam dunia ini entah berapa
banyak gua yang didakwa
kononnya tempat Ashabul Kahfi.
Ada di Turki, Jordan dan lain-lain.
Semuanya dakwaan tanpa bukti.
Sama juga kononnya tempat-
tempat sejarah nabi yang
didakwa oleh sesetengah pihak.
Tiada petunjuk yang dapat
memastikan ketulenannya.
Jika pun benar, mereka bukan
tuhan untuk seseorang meminta
hajat. Inilah yang terjadi kepada
Nabi Isa. Dari seorang nabi yang
diutuskan, akhirnya manusia
menabalkannya menjadi anak
Tuhan. Meminta hajat daripada
orang-orang agama atau soleh
setelah mereka mati adalah
syirik. Islam tidak kenal perkara
seperti itu. Islam tulen bebas dari
segala unsur kebodohan tidak
bertebing itu.
Ada yang cuba membela dengan
menyatakan: bukan apa, mereka
ini ialah orang yang dekat
dengan Allah, kita ini jauh. Maka
kita gunakan perantaraan
mereka. Macam kita hendak
dekat dengan menteri atau raja.
Saya kata kepada mereka:
Adakah awak menganggap Allah
itu sama dengan tabiat raja atau
menteri awak? Dakwaan inilah
yang disanggah oleh al-Quran
sekeras-kerasnya.
Firman Allah: (maksudnya)
Ingatlah! Hanya untuk Allah
agama yang bersih (dari segala
rupa syirik). Dan orang-orang
musyrik yang mengambil selain
dari Allah untuk menjadi
pelindung itu berkata: “Kami
tidak menyembah mereka
(tuhan-tuhan palsu) melainkan
untuk mendekatkan kami kepada
Allah sehampir-hampirnya ”.
Sesungguhnya Allah akan
menghukum antara mereka
tentang apa yang mereka
berselisihan padanya.
Sesungguhnya Allah tidak
memberi hidayah petunjuk
kepada orang-orang yang tetap
berdusta (mengatakan yang
bukan- bukan), lagi sentiasa
kufur (dengan melakukan syirik)
(al-Zumar:3).
Setelah Allah menceritakan
tentang bulan Ramadan dan
kewajiban puasa, Allah terus
menyebut kemustajaban doa. Ia
menunjukkan adanya kaitan yang
kuat antara puasa Ramadan dan
janji Allah untuk memustajabkan
doa hamba-hamba-Nya. Allah
berfirman (maksudnya):
Dan apabila hamba-hamba-Ku
bertanya kepadamu mengenai
Aku maka (beritahu kepada
mereka): Sesungguhnya Aku
(Allah) sentiasa hampir (kepada
mereka); Aku perkenankan
permohonan orang yang berdoa
apabila dia berdoa kepada-Ku.
Maka hendaklah mereka
menyahut seruan-Ku (dengan
mematuhi perintah-Ku), dan
hendaklah mereka beriman
kepada-Ku supaya mereka
mendapat petunjuk (surah al-
Baqarah: 186).
Demikian, Allah itu sentiasa
hampir dengan kita, mendengar
dan memperkenankan doa kita.
Sesiapapun boleh sampai
kepada-Nya. Tiada pengawal atau
orang tengah yang menghalang
seorang hamba untuk merintih
dan merayu kepada Tuhannya.
Siapapun hamba itu. Apa pun
bangsanya dan apa pun bahasa
doanya. Apa pun sejarah buruk
dan baiknya. Tuhan sentiasa sudi
mendengar lalu memustajabkan
pemohonan mereka dengan cara
yang dikehendaki-Nya.
Bertambah banyak hajat dan
permohonan seorang hamba,
bertambah kasih dan dekat Allah
kepadanya.
Amat berbeza dengan tabiat
makhluk yang lemah ini. Walau
bagaimana baik pun seseorang
dengan kita, namun jika kita
terlalu meminta, perasaan jemu
dan bosan akan timbul dalam
jiwanya. Allah Maha Suci dari
demikian. Dia menyuruh kita
berdoa dan membanyakkan doa.
Ini kerana doa adalah lambang
kehambaan diri kepada zat yang
Maha Agung. Firman Allah
(maksudnya):
Dan Tuhan kamu berfirman:
Berdoalah kamu kepada-Ku
nescaya Aku perkenankan doa
permohonan kamu.
Sesungguhnya orang-orang yang
sombong takbur daripada
beribadat (berdoa kepada-Ku)
akan masuk neraka jahanam
dalam keadaan hina (surah
Ghafir: 60).
Seseorang kadangkala tidak
perasan bahawa apabila dia
berdoa kepada Allah sebenarnya
dia sedang melakukan ibadah
yang besar. Walaupun pada
zahirnya kelihatan dia sedang
memohon untuk kepentingan
diri sendiri, namun hakikatnya
dia sedang membuktikan
keikhlasan tauhidnya kepada
Allah dan ketundukan kepada
Tuhan Yang Sebenar. Maka
dengan itu Nabi menyatakan:
Doa itu adalah ibadah. (Riwayat
Abu Daud dan al- Tirmizi, sahih).
Jika sepanjang malam seorang
hamba berdoa kepada Allah,
bererti sepanjang malam dia
melakukan ibadah yang besar.
Doa sentiasa diterima oleh Allah.
Jika ada yang kelihatan tidak
diterima, mungkin ada beberapa
faktor yang mengganggu.
Mungkin pemohonan itu tidak
membawa kebaikan jika
dimustajabkan. Allah Maha
Mengetahui. Seperti hasrat kita
ingin mengahwini seseorang
yang kita suka, lalu kita berdoa
agar Allah menjadikan dia
pasangan kita. Allah lebih
mengetahui jika itu tidak baik
untuk kita lalu Allah memilih
untuk kita pasangan yang lain.
Atau Allah memustajabkan doa
orang lain yang lebih
dikehendaki-Nya. Atau Allah
memustajabkan doa calon
berkenaan yang inginkan orang
lain. Segalanya mungkin.
Namun doa tidak sia-sia. Pahala
tetap diberikan, kebaikan yang
lain pula akan diganti di dunia
dan di akhirat. Sabda Nabi:
Tiada seorang muslim yang
berdoa dengan suatu doa yang
tiada dalamnya dosa, atau
memutuskan silaturahim
melainkan Allah akan
memberikan kepadanya salah
satu dari tiga perkara: sama ada
disegerakan kemakbulan atau
disimpan untuk diberikan pada
hari akhirat, ataupun dijauhkan
keburukan yang sepandan
dengannya. (Riwayat Ahmad, al-
Bazzar dan Abu Ya‘la dengan
sanad yang sahih).
Maka, ada doa kita kepada Allah
diterima olehnya di dunia. Ada
yang tidak diberi disebabkan
hikmat yang Allah lebih
mengetahuinya, lalu disimpan
doa itu di sisi-Nya untuk
diberikan pada hari akhirat
dengan yang lebih baik dan lebih
utama untuk kita. Atau doa itu
ditukar dengan kebaikan-
kebaikan yang lain seperti
diselamatkan kita dari pelbagai
bahaya yang sebahagian
besarnya tidak pernah diduga.
Betapa banyak keberbahayaan
yang menimpa orang lain, tetapi
kita diselamatkan oleh Allah.
Tidak juga kerana permohonan
kita dalam perkara tersebut atau
kebijaksanaan kita, namun
barangkali doa kita dalam
perkara yang lain, lalu diberikan
gantian keselamatan untuk kita
dalam perkara yang tidak diduga.
Kadangkala Dia tidak
memberikan kepada kita sesuatu
permohonan disebabkan rahmat-
Nya kepada kita. Barangkali ingin
menyelamatkan kita. Dia Maha
Mengetahui, jika diberikan,
mungkin kita hanyut atau
menempuh sesuatu yang
merugikan kehidupan di dunia
atau akhirat. Kita pun demikian.
Bukan bererti apabila seorang
bapa tidak tunaikan kehendak
anaknya tanda kebencian
terhadapnya. Bahkan sebahagian
besarnya kerana kasih sayang
dek bimbang jika diberikan akan
mendatangkan kemudaratan.
Maha Suci Allah untuk
dibandingkan dengan kita
semua, namun yang pasti
rahmat-Nya sentiasa melimpah.
Jika Dia menangguhkan doa kita,
tentu ada hikmah-Nya.
Di samping itu hendaklah kita
faham, doa itu bermaksud
permohonan. Seorang yang
berdoa mestilah bersungguh-
sungguh dalam doanya. Maka
tidaklah dinamakan berdoa jika
tidak faham apa yang kita doa.
Sebab itu saya amat hairan
dengan sesetengah orang yang
berdoa tanpa memahami
maksud. Sesetengah mereka
menghafal teks Arab kerana
hendak menjadi ‘tekong’ doa
dalam pelbagai majlis.
Malangnya, ada yang tidak faham
apa yang dibaca dan yang
mengaminkan pun sama. Ada
orang merungut, kata mereka,
umat Arab di Masjidilharam dan
Masjid Nabawi tidak baca doa
selepas solat beramai-ramai. Itu
menunjukkan mereka tidak kuat
pegangan Islam mereka. Saya
katakan: Islam tidak diturun di
kampung halaman kita, ia
diturunkan di Mekah dan
Madinah. Mereka melakukan apa
yang menjadi amalan Rasulullah.
Lagipun seseorang yang bersolat
disuruh berdoa ketika dalam
solat dan berwirid selepasnya.
Dalam hadis, kita diajar agar
berdoa ketika sujud dan selepas
membaca tasyahud sebelum
salam. Di situlah antara waktu
mustajabnya doa. Sabda Nabi:
Paling dekat hamba dengan
tuhannya adalah ketika sujud,
maka banyakkan doa ketika
sujud. (Riwayat Muslim).
Nabi memberitahu tentang doa
selepas tasyahud sebelum
memberi salam dalam solat:
Berdoalah pasti mustajab,
mintalah pasti akan diberikan.
(Riwayat al-Nasai, sanadnya
sahih).
Bukan bererti orang yang kita
tengok tidak mengangkat tangan
berdoa kuat beramai-ramai
selepas solat itu tidak berdoa.
Kita yang barangkali kurang
faham sedangkan mungkin
mereka berdoa dalam solat
melebihi kita. Jika seseorang
berdoa selepas memberi salam,
tentulah dalam banyak hal, hajat
makmum dan imam tidak sama.
Maka jangan marah jika kita lihat
orang berdoa bersendirian.
Nasihatilah mereka yang
membaca doa tanpa faham
maksudnya, atau mengaminkan
tanpa mengetahui isinya. Lebih
menyedihkan, kadangkala doa
dibaca dengan nada dan irama
yang tidak menggambarkan
seorang hamba yang sedang
merintih memohon kepada Allah.
Sebahagian nada itu, jika
seseorang bercakap kepada kita
dengan menggunakannya pun
kita akan pertikaikan. Layakkah
nada seperti itu sebagai doa
kepada Allah yang Maha Agung?
Benarlah sabda Rasulullah:
Berdoalah kamu kepada Allah
Taala dalam keadaan kamu yakin
akan dimustajabkan. Ketahuilah
sesungguhnya Allah tidak
menerima doa dari hati yang lalai
dan alpa. (Riwayat al-Tirmizi,
disahihkan oleh al-Albani).
Pelajari kita nas-nas agama
tentang doa kerana ianya amat
penting bagi kehidupan dunia
dan akhirat kita.

No comments: