Tiga perkara sudah dijanjikan
Allah SWT yang tertulis di
Lohmahfuz atas kesemua umat
manusia adalah rezeki, jodoh dan
ajal. Perjanjian ini akan
terlaksana tanpa sedetik pun
lewat apabila tiba masanya.
Usahkan ribut, taufan sekali pun
tidak boleh mengganjakkan janji
ini. Hanya doa yang mampu kita
pinjam sebagai pena untuk
mencoret kepada kisah
pengakhir janji Tuhan itu.
Tiadalah daya kita
mempersoalkan apa yang diatur
olehNya yang Maha Berkuasa ke
atas setiap sesuatu. Kita
didatangkan sebagai selemah-
lemah kejadian dengan seberat-
berat tanggungan.
“..Dan diciptakanNya manusia itu
dalam keadaan lemah.” [Surah
an-Nisaa : 28]
Berdoalah wahai manusia kerana
itu saja senjata yang kita ada
dalam menangani janji dan
sumpah Allah SWT. Dia Maha
Mendengar dan Dia lebih tahu
apa yang kita perlu daripada apa
yang kita mahu. Biar separah
mana pun luka merobek hati kita,
berdoalah. Allah SWT Maha
Mendengar. Biar sedalam mana
pun luka yang tertoreh,
berdoalah kerana Allah SWT Maha
Memahami hati hambaNya.
“..(Iaitu) orang-orang yang
beriman dan hati mereka
menjadi tenteram dengan
mengingati Allah. Ingatlah, hanya
dengan mengingati Allahlah hati
menjadi tenteram. ” [Surah ar-
Rad : 28]
Perginya seorang insan
menghadap penciptaNya adalah
satu episod baru baginya. Berat
dan besar beban yang dibawa
bergantung bagaimana dia
menikmati nikmat umur yang
Allah SWT pinjamkan untuk
tempoh yang sudah
ditandatangani tanda setuju
sejak di dalam rahim ibu lagi.
Sedangkan kita yang masih
berpeluang menghirup udara
segar, tanpa sedar terus
meratapi dan mempersoalkan
kenapa insan yang mungkin kita
agungi itu dijemput, sedangkan
kita masih belum mahu
menghantarnya. Kita lupa
bahawa kita juga akan ke sana
bila tiba giliran yang ditetapkan.
Apa cukup bersediakah kita
hingga kadang-kadang kerana
terlalu mengikutkan pedihnya
hati yang kehilangan, ada antara
kita yang terlepas kata ingin
menurut jejak insan tersayang
yang pejam buat selamanya.
Jangan dicabar kerja Tuhan …
Hari ini kita bertemu…
Hari esok belum tentu…
Hari ini kita bersatu…
Hari esok Tuhan yang tahu…
Selamat jalan sahabat…
Selamat jalan perwira…
Selamat jalan ibu…
Selamat jalan ayah…
Selamat jalan siapa pun di sana…
Satu waktu, aku akan menyusul
jua …
No comments:
Post a Comment