Masih teringat lagi tarikh
keramat 25 Jun 2010, di PWTC.
Saya dan beberapa sahabat
menyerahkan borang penyertaan
Umno kepada perdana menteri.
Pelbagai respons diperolehi
daripada teman-teman
seperjuangan, juga masyarakat
yang peka terhadap
perkembangan politik semasa.
Ada yang memberi semangat dan
ada yang memberi nasihat. Tidak
kurang juga ada pihak yang
mencemuh dan membuat
pelbagai tuduhan palsu.
"Ustaz, teruskan perjuangan,
teruskan dakwah. Ustaz, kena
banyak nasihati Umno. Ustaz,
lakukan perubahan dalam Umno,
jadikan mereka cinta kepada
Islam," kata mereka.
Respons positif seperti ini
membuatkan kami terus
bersemangat. Terima kasih kami
ucapkan. Bagaimanapun, perlu
diketahui bahawa sesuatu
nasihat itu bukan untuk Umno
semata-mata. Bahkan nasihat
adalah untuk semua manusia.
Rasulullah SAW bersabda:
"Agama itu nasihat. Para sahabat
bertanya, untuk siapa nasihat
itu? Nabi bersabda, untuk Allah,
kitab-Nya, rasul-Nya, pemerintah
Muslim dan manusia
umumnya." (Riwayat Muslim,
hadis nombor 55).
al-Khatthobi ketika menjelaskan
erti nasihat berkata: "Menjamin
atau menghendaki kebaikan bagi
yang diberi nasihat." (lihat Syarh
Shahih Muslim al-Imam al-
Nawawi).
Adakah Umno sahaja yang sering
melakukan kesilapan dan perlu
dinasihati? Adakah PAS dan PKR
tidak pernah melakukan
kesalahan? Wahai manusia, usah
terlalu prejudis.
Sibuk cari kesalahan orang
Sabda Nabi SAW, maksudnya:
"Setiap anak adam melakukan
kesalahan, dan sebaik-baik
pesalah adalah yang bertaubat
atas segala
kesalahannya." (Riwayat al-
Tirmidzi, hadis nombor 2499).
Nah, Rasulullah sendiri
menyatakan setiap anak Adam
pasti melakukan kesalahan. Maka,
usah kita tunding menuding
antara satu dengan yang lain.
Sewajarnya, di mana ada
kesalahan, maka di situ perlu ada
nasihat tanpa mengira agama,
parti, bangsa dan warna kulit.
Soal bagaimana nasihat itu perlu
dilakukan, ia perlu kembali
kepada etika-etika yang diajarkan
oleh Rasulullah SAW.
Kadang kala, si jasus (mata-
mata) yang sibuk mencari
kesalahan orang lain terlupa
tentang dirinya. Akidah, ibadah
dan akhlaknya bagaimana?
Jiwanya kacau, kerana itu mereka
sering meracau.
Bagi pihak yang dikritik,
sekiranya kritikan tersebut kena
pada tempatnya, maka menjadi
satu kewajipan baginya untuk
menerima dengan hati yang
terbuka.
Ustaz kena pastikan wanita
Umno bertudung!
Takutilah firman Allah,
maksudnya:
"Dan sesungguhnya Kami jadikan
untuk isi neraka Jahanam
kebanyakan dari jin dan manusia,
mereka mempunyai hati, tetapi
tidak digunakan untuk
memahami (ayat-ayat Allah) dan
mereka mempunyai mata
(tetapi) tidak digunakan untuk
melihat (tanda-tanda kekuasaan
Allah), dan mereka mempunyai
telinga (tetapi) tidak digunakan
untuk mendengar (ayat-ayat
Allah). Mereka itu seperti
binatang ternak, bahkan mereka
lebih sesat lagi. Mereka itulah
orang-orang yang lalai." (surah
al-A'raf, ayat 179).
Imam Ibnu Kathir ketika
mengulas ayat di atas
menyatakan: "Mereka (ahli
neraka) tidak memanfaatkan
anggota yang Allah jadikan sebab
untuk mendapat
hidayah." (Tafsir Al-Quran
al-'Adzhim).
Sebaliknya, jika kritikan tersebut
merupakan fitnah dan tuduhan
palsu, maka usah cepat melatah.
Berdiam di samping muhasabah
diri adalah tindakan bijak.
Teringat saya pada satu syair
Imam Syafie: "Berkatalah sesuka
hatimu untuk menghina
kehormatanku. Maka diamku dari
orang yang hina adalah suatu
jawapan . Bukanlah ertinya aku
tidak memiliki jawapan, tetapi
tidak pantas bagi seekor singa
melayani kerenah anjing-anjing.
(Lihat Diwan al-Syafi'e).
Bagaimana pula dengan sindiran
seperti: "Selamat menjadi orang
kaya. Ustaz kena pastikan semua
orang Umno simpan janggut
bulan depan! Ustaz kena pastikan
semua wanita Umno bertudung!
Ustaz kena pastikan hukum
hudud dilaksanakan segera!
Ustaz kena hapuskan rasuah!"
Terasa letih mendengar suara-
suara sindiran sebegitu.
Bagaimanapun, saya dan para
sahabat jadikan ia sebagai satu
dugaan dan cabaran.
Perjuangan tanpa dugaan ibarat
berbuka puasa tanpa manisan.
Apatah lagi Allah SWT telah
menetapkan ujian bagi sesiapa
yang beriman.
Rasuah, hudud dan mata duitan
Firman-Nya, bermaksud: "Adakah
manusia itu mengira bahawa
mereka dibiarkan (saja)
mengatakan: "Kami telah
beriman", sedangkan mereka
tidak diuji? Dan sesungguhnya
Kami telah menguji orang yang
sebelum dari mereka, maka
sesungguhnya Allah mengetahui
orang yang benar dan
sesungguhnya Dia mengetahui
orang yang berdusta." (surah
al-'Ankabut, ayat 2-3)
Suara-suara sindiran tadi adalah
harapan dalam berbentuk
ugutan. Seolah-olah hidayah
berada di tangan kami.
Sedangkan Nabi SAW tidak
mampu merubah hati
saudaranya sendiri dari
kekufuran kepada keimanan.
Apatah lagi kami.
Hairan apabila manusia cuba
mencabar tugas Allah.
Bahkan adakah amalan rasuah,
menolak hudud dan mata duitan
merupakan dasar Umno? Sudah
tentu tidak.
Sebaliknya, mungkin ia berlaku
pada individu-individu tertentu
yang mendahulukan hawa nafsu
mengatasi disiplin beragama.
Jangan kerana nila setitik, rosak
susu sebelanga.
Sebenarnya kesalahan itu boleh
berada di mana-mana dan
pengawalnya adalah takwa,
bukan parti politik atau
kelompok tertentu.
Kerana itu, Allah berfirman,
maksudnya: "Sesungguhnya
yang paling mulia dari kalangan
kamu di sisi Allah adalah yang
paling bertaqwa." (surah al-
Hujurat, ayat13).
Oleh itu, isu melibatkan individu,
usahlah dimaklumkan kepada
umum kerana ia termasuk dalam
kategori mengumpat.
Mungkin ada yang berkata, isu
tersebut memberi kesan kepada
masyarakat di Malaysia. Saya
katakan: "Adakah anda telah
menasihatinya?"
Fathul Bari Mat Jahya merupakan
pengerusi jawatankuasa kerja
Sekretariat (Ulama Muda UMNO
(iLMU ). Graduan hadis daripada
Universiti Islam Madinah dan
Universiti Yarmouk Jordan itu kini
sedang menyiapkan tesis PhD
dalam bidang yang sama di
Universiti Islam Antarabangsa
(UIA). Beliau kini bertugas
sebagai penasihat agama di
Institut Jantung Negara.
No comments:
Post a Comment