Saturday, August 7, 2010

Flotilla Lebih Besar Akanke Gaza

STOCKHOLM 5 Ogos -

Aktivis pro-Palestin yang
menganjurkan konvoi
bantuan kemanusiaan ke
Genting Gaza yang
diserang oleh komando
Israel pada Mei lalu
merancang untuk
menghantar flotila
bantuan yang lebih besar
sebelum akhir tahun ini.

Rangkaian organisasi yang
terlibat dalam usaha
bantuan itu semakin
meluas dan kini meliputi
kumpulan penyokong di
serata dunia termasuk dari
Amerika Syarikat (AS),
Venezuela, Chile dan
Malaysia, kata jurucakap
pertubuhan Sweden, Ship to
Gaza, Dror Feiler kepada
pemberita di sini selepas
membincangkan perkara
tersebut di sini, semalam.

Katanya, aktivis-aktivis Eropah
yang mewakili badan penaung,
Freedom Flotilla Coalition
mengadakan mesyuarat di
bandar raya ini semalam
merancang untuk menghantar
flotila baru yang lebih besar
melibatkan 12 buah kapal.
Mesyuarat di Stockholm itu
disertai aktivis dari Greece,
Perancis dan Sweden serta
pertubuhan bantuan Islam dari
Turki, IHH yang diharamkan oleh
Israel kerana dituduh
menjalinkan hubungan dengan
pergerakan Hamas.

Mereka berharap flotila itu akan
disertai oleh ahli Parlimen dan
aktivis selebriti termasuk
pemuzik, artis dan bintang
sukan dari seluruh dunia, kata
Feiler yang enggan menyebut
nama aktivis-aktivis terbabit.

Menurutnya, penganjur flotila
kini dalam proses untuk
membeli dan melesenkan kapal-
kapal untuk operasi baru itu dan
mendaftarkannya di beberapa
negara Eropah.

Komando Israel pada 31 Mei lalu
menyerang flotila enam kapal
bantuan di perairan
antarabangsa yang sedang
dalam perjalanan ke Genting
Gaza, menyebabkan lapan
aktivis warga Turki dan seorang
rakyat AS keturunan Turki
terkorban.

Israel mendakwa askarnya
bertindak menyerang untuk
mempertahankan diri tetapi
pertumpahan darah itu
mencetuskan bantahan keras
masyarakat antarabangsa
sehingga memaksa rejim Zionis
melonggarkan sekatan yang
dikenakannya ke atas Gaza sejak
2007.

Bagaimanapun, Freedom Flotilla
Coalition menyifatkan langkah
Israel itu sebagai tidak
memadai. - AP

No comments: