Monday, August 9, 2010

SN226 - SUSAH SANGATKAH UNTUK BERSATU?

SN Keluaran 30 Julai 2010
 
alt
 
SUSAH SANGATKAH UNTUK BERSATU?

Orang Melayu akan hilang kuasa! Demikianlah nada kebimbangan yang diluahkan oleh Mufti Perak, Tan Sri  Harussani Zakaria ketika merasmikan Perhimpunan Melayu  Perak anjuran Gagasan Melayu Perak di Ipoh baru-baru ini. Kenyataan itu dibimbangi menjadi realiti sekiranya UMNO dan PAS terus berdegil untuk tidak bersatu, terutamanya selepas piliharaya umum ke-13 (PRU-13) yang akan datang. Rentetan dari kenyataan tersebut beberapa pemimpin parti yang terlibat turut mula bersuara melalui media massa. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu haruslah dijadikan iktibar kepada semua pihak supaya lebih mengutamakan perpaduan. [Utusan Online 19/7/2010]. Lain pula halnya dengan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menolak sama sekali hasrat Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan supaya UMNO dan parti itu segera menamatkan persengketaan melalui satu pelan damai demi perpaduan umat Islam di negara ini. Beliau juga menyifatkan orang tengah yang cuba mendamaikan kedua-dua parti politik terbesar itu sebagai ‘hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong’ kerana PAS tidak memerlukan pihak ketiga untuk tujuan tersebut. Manakala Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, hanya dengan kembali bersatu menurut ‘rukun ibadah’ sahaja yang berkesan untuk mewujudkan penyatuan umat Islam di negara ini dan ia tidak perlu bergantung kepada parti politik semata-mata, tidak kira PAS ataupun UMNO. Persoalannya ialah apakah susah sangat untuk umat Islam itu bersatu?

Umum mengenali UMNO merupakan sebuah parti politik yang memperjuangkan ketuanan Melayu; mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara [Fasal 3 Perlembagaan UMNO]. Ia mengakui mempunyai jumlah ahli terkini seramai 3 186 850 orang dan merupakan parti Melayu yang terbesar di Malaysia. Sedangkan PAS, yang asas penubuhannya berdasarkan Islam pula, memperjuangkan kewujudan sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana didalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah [Fasal 5 Perlembagaan Pas]. Namun, berikutan dari kehilangan pengaruh UMNO-BN dalam pilihanraya ke-12 baru-baru ini, PAS dilihat sebagai salah satu alternatif UMNO untuk bergabung bagi mengembalikan kekuatannya. Dari perspektif itulah, Nik Aziz menolak sebarang usaha untuk menyatukan kedua-dua parti Melayu tersebut kerana sejarah hitam PAS sekitar 1978 melakar gurisan pedih yang menjadikannya serik untuk bergabung semula dengan UMNO. [Utusan Online 26/7/2010]. Demikianlah warna-warni politik yang ada hari ini terutama di Malaysia, masing-masing memiliki pendirian dan pandangan tertentu dalam persoalan penyatuan seluruh umat Islam di Malaysia. Tindakan mereka itu menampakkan kepada umum seolah-olah umat Islam ini adalah umat yang sangat sukar untuk bersatu, sedangkan hakikatnya mereka menyembah tuhan yang satu, nabi mereka satu, kiblat mereka pun satu dan al-quran mereka juga satu. Namun begitu, sekalipun mereka menyeru untuk bersatu, kesatuan itu bukan secara global iaitu bersatunya seluruh dunia umat Islam dibawah seorang khalifah yang memerintah dengan hukum al-quran dan as-sunnah. Bagi mereka cukup bersatu pada asas negara bangsa, OIC, D8 dan seumpamanya Mereka tidak langsung menyelami permasalahan yang berlaku dan hakikat penyelesaiannya. Mereka nampaknya lebih mengutamakan parti bahkan seolah-olah sedang mabuk dirasuk sindrom gila kuasa!

GILA KUASA UNTUK RASIS?

Dalam beberapa siri pilihanraya kecil yang lepas, rata-rata ianya memihak kepada Pakatan Rakyat (PR). Para penganalisis politik melihat bahawa salah satu faktor kemenangan PR adalah kerana pengundi bukan melayu semakin menerima gagasan atau manifesto PR. Ada kebenarannya apabila statistik sokongan pengundi bukan Melayu terutama masyarakat Cina adalah sesuatu yang luar biasa jumlahnya berbanding dengan sebelumnya. Maka sejak itu, UMNO-BN berkempen untuk meraih semula pengaruh undi bukan Melayu namun masih belum berjaya. Salah satu alternatif lain, untuk kembali memperkasakan kedudukan Melayu dalam landskap politik tanah air, maka PAS dilihat sebagai tempat untuk ‘berpaut’ terutama menjelang PRU-13 nanti. Dari itu, polemik penyatuan ini mula berkumandang disana-sini. Mengapa senario ini timbul? Tidak lain tidak bukan adalah kerana UMNO-BN ingin terus berkuasa. Dipihak yang satu lagi pula, mengapa tawaran untuk bersatu itu ditolak oleh PAS? Jawapannya mungkin kerana ingin melihat UMNO-BN jatuh dari kekuasaannya. Jelas kita dapat melibat betapa sistem demokrasi yang ditunggangi oleh kedua-dua parti politik ini telah berjaya menghasilkan konfik sesama umat Islam. Apakah parti politik Melayu/Islam ini sedar bahawa dasar negara yang ada hari ini adalah merupakan satu masalah utama yang wajib ditukar kepada sistem Islam? Apakah kedua-dua golongan ini tidak menyedari nasionalisme dan patriotisme adalah asas yang tidak layak dijadikan sebagai pengikat antara sesama manusia! [Rujuk SN138-ASSABIYYAH dan WATHANIYYAH-Pencetus Malapetaka Dan Perpecahan]

Betapa tidak, UMNO sentiasa menyerukan agar kaum Melayu dipertuankan di Malaysia, ini membawa konotasi sebaliknya apabila kaum bukan Melayu seolah-olah dianak-tirikan. Kaum Melayu mendapat hak istimewa dalam aspek pengagihan kekayaan dan kuasa, sedangkan kaum selainnya tidak. Jelas bagi kita ianya merupakan suatu idea rasis (perkauman) yang membahayakan kemakmuran hidup bernegara. Begitu pula sekiranya agenda perjuangan hanya ditumpukan kepada suatu sempadan negara sahaja. Maka ia juga merupakan sesuatu yang mengundang kerosakan hidup bernegara kerana bagi pendatang luar, baik yang dibenarkan ataupun sebaliknya, jika tidak dapat dikawal jumlahnya boleh menyebabkan kerusuhan, porak peranda bahkan boleh jadi sampai keperingkat penjajahan. Semua ini merupakan manifestasi dari kegagalan nasionalisme dan patriotisme sebagai pengikat hubungan antara sesama manusia. Ia sangat lemah, rendah nilainya serta bersifat sementara, tidak sesuai bagi kehidupan manusia!

Lain pula bagi Islam sebagai suatu mabda, dimana pada hakikatnya ia telah terbukti mampu mengikat hubungan
antara sesama manusia dalam suatu wadah yang menyerlahkan keharmonian dan kesejahteraan [Rujuk SN094 - HIDUP HARMONI HANYA DI BAWAH NAUNGAN ISLAM] bahkan jauh lebih dari itu, Islam pernah menyatukan seluruh bangsa yang wujud dari Andalusia mengunjur ke Nusantara selama ribuan tahun! Ini suatu yang menakjubkan, inilah bukti sebenar kekuatan Islam yang mampu menjadi dasar penyatu seluruh umat manusia. Islam tidak membenarkan ikatan yang berasaskan nasionalisme, patriotisme, manfaat serta ikatan-ikatan lain yang merosakkan kehidupan manusia.

SEJARAH PENYATUAN ISLAM

Ketika di Mekkah, Rasulullah SAW mendakwahi Islam kepada seluruh manusia agar memeluk deenullah itu, dan seterusnya membentuk kutlah (kelompok) Islam. Dengan kutlah itu, Islam disebar di tengah-tengah kehidupan masyarakat Arab Mekkah. Kaum muslimin menghadapi pelbagai ujian dan rintangan yang hebat dari masyarakat jahiliyyah, biarpun begitu Rasulullah SAW tetap terus melakukan dakwah sehingga datang perintah Allah SWT agar berhijrah ke Madinah. Namun begitu suatu hal yang perlu diperhatikan disini ialah Rasulullah SAW tidak pernah memerintahkan para sahabat untuk bersikap uzlah (mengasingkan diri) dan membina kekerabatan tanpa mencampuri masyarakat, bahkan mereka tinggal bersama masyarakat dan mendakwahkan Islam; baik akidah mahupun syariatnya. Tatkala penghijrahan dilaksanakan, Rasulullah SAW mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar demi mencapai suatu sasaran yakni ukhuwwah Islamiyyah disamping membentuk ikatan akidah yang mantap dikalangan mereka. Selain itu, ikatan Islam tersebut membentuk kehidupan yang lebih kuat dalam erti kata persaudaraan dan bantuan kebendaan kerana golongan Ansar sangat bermurah hati. Rasulullah SAW mempersaudarakan dirinya dengan Ali bin Abi Talib, Hamzah dengan Zaid bin Haritsah, Abu Bakar dengan Kharijah bin Zaid. Baginda juga mempersaudarakan Umar Al-Khattab dengan ‘Atban bin Malik al-Khazra’iy, Thalhah bin ‘Ubaidillah dengan Abu Ayyub al-Ansariy, Abdul Rahman bin ‘Auf dengan Saad bin Rabi’. Ketika berlaku perselisihan diantara kaum Ansar (puak Aus dan Khazraj) setelah mereka memeluk Islam, Allah SWT menurunkan beberapa firmanNya bagi mendamaikan keadaan tegang tersebut. Menurut Ibnu Ishaq dan Abu Asy-Syaikh yang bersumber dari Zaid bin Aslam meriwayatkan bahawa turunnya ayat 99-103 surah Ali-Imran adalah bersabit dengan kejadian seorang yahudi bernama Syash bin Qais yang tampil ditengah-tengah kaum muslimin serta melaga-lagakan sesama mereka hingga timbul perbalahan. Syash bin Qais dibantu seorang pemuda yang juga anak buahnya menggunakan isu perang Bu’ats untuk melagakan kaum Aus dan Khazraj. Hasil pojokan si yahudi ini, maka bangkit Aus bin Qaizhi serta Jabbar bin Sakhr yang masing-masing mengagung-agungkan kaum sendiri serta berbalah hingga hampir bergelut, maka datang Rasulullah SAW mendamaikan semula keadaan dengan membacakan ayat-ayat Allah SWT tadi.

Begitu jugalah dengan keadaan realiti hari ini, umat Islam yang dahulunya hidup bersatu dibawah naungan Khilafah selama 1300 tahun lamanya sebagai satu bangsa yang tidak mengenal warna kulit, asal-usul (keturunan), bahasa dan budaya; semuanya hidup bersatu dengan ikatan Islam. Suatu ikatan yang berjaya menambat hati-hati manusia kepada Allah baik yang tinggal di Andalusia (Sepanyol), Maghribi, Mesir, Tanah Arab, Khurasan waimma di Nusantara. Semuanya menikmati nikmatnya kesatuan akidah, masing-masing hidup damai dengan syariah. Namun setelah kehidupan umat Islam dilanda badai sekularisme yang mendukung idea-idea perpecahan seperti nasionalisme dan patriotisme, maka kehidupan kaum muslimin terus berantakan dan berselerakkan. Masingmasing dijajah dan dipecah-belah menjadi serpihanserpihan kecil. Negeri-negeri kecil kaum muslimin ini menjadi lemah dan dengan begitu mudahnya diratah oleh kuasakuasa kufar barat sepertimana yang kita saksikan hari ini. Sistem pemerintahan demokrasi yang dipaksakan oleh kufur barat keatas kaum muslimin telah berjaya mengkucarkacirkan politik mereka. Mereka berbalah sesama sendiri, berpecah menjadi simpang-siur dan hati-hati mereka terus bermusuhan, benci membenci, jatuh-menjatuh antara sesama mereka. Semua ini persis seperti kehidupan jahiliyyah sebagaimana yang dikhabarkan kepada kita melalui nas-nas yang sahih. Malangnya, kita tetap tidak mengambil pengajaran dan iktibar darinya. Dengan nasionalisme dan patriotisme yang sedang mendarahdaging dalam tubuh umat Islam hari ini, kita tidak merasakan kesatuan dikalangan kaum muslimin. Bahkan wujud pula ditengah-tengah kehidupan ini undang-undang yang memisahkan hubungan sesama kaum muslimin. Di Malaysia, warga negara luar biarpun beragama Islam dilayan sebagai warganegara asing walaupun mereka seaqidah dengan kita. Hak dan keistimewaan adalah berbeza menurut peruntukan undang-undang thagut ciptaan manusia. Ini membuktikan bahawa nasionalisme dan patriotisme merupakan ideologi kufur yang membeza-bezakan individu muslim antara sesamanya. Inilah penyakit masyarakat yang melanda dunia hari ini dimana nilai kemanusiaan telah tersingkir dari kehidupan dan kemuliaan Islam.

Khatimah

Sedarlah wahai kaum muslimin. Bahawa sesungguhnya nasionalisme dan patriotisme merupakan racun berbisa yang menghancurkan kesatuan umat Islam, baik dahulu mahupun sampai bila-bila. Ia pernah menghancurkan Khilafah Uthmaniyyah suatu ketika dahulu. Kini ia sedang menjalar dalam tubuh umat Islam agar kita tetap hidup dalam perpecahan. Apakah kalian masih redha tinggal dalam ruang yang sempit, terkebelakang dan tercorot ini? Kalian sepatutnya keluar dari kesempitan nasionalisme dan patriotisme menuju keluasan dunia dengan Islam. Kita pernah sama-sama memayungi lebih dua pertiga daratan dengan Khilafah yang mendukung aspirasi syariah bagi seluruh umat manusia berbilang bangsa. Apakah kalian hanya sekadar suka mendengar dan tersenyum membaca sejarah gemilang itu tanpa bangkit memperjuangkannya semula? Wahai kaum muslimin! Hentikanlah polemik politik kepartian yang sempit itu. Kita tidak sepatutnya lemah dan melemahkan antara sesama kita. Sebenarnya, kita menjadi lemah kerana diracun oleh nasionalisme dan patriotisme biarpun akal dan hawa nafsu kita menterjemahkan pengertian bersatu memperkasa ummah! Tapi selagi langkah kita berada dalam ruang yang dijajah oleh ideologi kufur itu, maka selagi itulah kita terpenjara dan memenjara saudara kita yang lain. Ini merupakan kezaliman yang kita cipta baik untuk diri sendiri mahupun kepada yang lain. Kita tidak sepatutnya menyusun agenda bersatu dengan mesyuarat, resolusi, rundingan dan meletakkan pelbagai syarat, padahal Allah dan RasulNya telah jelas-jelas memerintahkan agar kita sentiasa hidup bersatu! Baik dalam kesatuan aqidah mahupun syariah. Sudah pastinya, kita wajib mengembalikan kesatuan ini dalam bentuk asal seperti yang diwariskan oleh junjungan besar kita, Muhammad SAW yakni kehidupan dibawah payung Khilafah Rasyidah ‘Ala Minhaj An-Nubuwwah. Ayuh kita tinggalkan ikatan nasionalisme dan patriotisme yang beriringan dengan sistem demokrasi yang wujud ini kerana ianya tiada bermanfaat bagi manusia yang berakal, bahkan ia muncul dari benak manusia yang tidak bertamadun lagi hina. Dan formula hakiki yang perlu digunakan hari ini agar munculnya kesatuan umat Islam itu ialah dengan membuang segala bentuk pemikiran kufur seperti sekularisme, nasionalisme dan patriotisme yang ada ditengah-tengah umat ini dan seterusnya bergerak bersatu dibawah naungan Khilafah. Itulah kesatuan yang digeruni oleh kufar barat sebenarnya.

No comments: