Monday, August 2, 2010

Wahhabi di malaysia

Sejak kebelakangan ini, isu Salafi Wahhabi menjadi buah mulut masyarakat di Malaysia, khususnya di kalangan ahli ilmu. Dikatakan bahawa, kefahaman Salafi Wahhabi telah tersebar meluas dalam masyarakat IPTA khususnya di Malaysia. Jadi, apakah gerakan ini dan apakah matlamat mereka dalam menyebarkan ajaran mereka di dalam masyarakat.
Kalau di Mesir khususnya, isu Salafi Wahhabi sememangnya tidak pernah padam dibincangkan. Ini kerana, golongan Salafi Wahhabi di sini sememangnya berkembang secara meluas. Jadi, kebanyakkan ulama’-ulama’ muktabar di Al-Azhar berusaha untuk melawan arus deras Wahhabisme di Mesir. Ulama’-ulama’ seperti Dr. Ali Jum’ah (mufti Al-Azhar), Dr. Omar abu Hasyim (bekas rektor Al-Azhar) dan kebanyakkan ulama’-ulama’ hadis, falsafah dan syariah di Al-Azhar menentang fahaman Wahhabi dalam penulisan mahupun dalam pidato mereka.
Mengapa perlu melawan arus Wahhabisme? Siapakah Wahhabisme? Apakah matlamat mereka?
Secara ringkasnya, kumpulan Salafi Wahhabi diasaskan oleh Muhammad Abdul Wahab. Beliau menganggap umat Islam setelah zaman salaf (zaman Rasulullah s.a.w. sehingga 300 Hijrah) telah mengalami kepincangan khususnya dari sudut aqidah dan terlibat dengan amalan bid’ah.
Beliau beranggapan begitu apabila beliau melihat fenomena umat Islam pada ketika itu yang terlalu mengagungkan para wali, sering menziarahi kubur mereka, dan pelbagai lagi perkara yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w., yang dilakukan oleh umat Islam setelah zaman salaf.
Golongan utama yang menjadi sasaran Muhammad ibn Abdul Wahab dan para pengikutnya ialah golongan sufi yang giat mengembangkan ilmu akhlak dan adab dalam bermu’amalah kepada Allah dan makhluk. Mereka menuduh golongan sufi menyembah kubur para wali dan meminta pertolongan dari para wali, dan seterusnya membuktikan golongan sufi ialah golongan yang syirik.
Dari sudut aqidah pula, golongan Wahhabi terpengaruh dengan fahaman Shiekh Ibn Taimiyah dan mereka menyerang mazhab-mazhab asas ahlul sunnah wal jamaah sejak berzaman, iaitu mazhab Imam Al-Asy’ari (mazhab aqidah di Malaysia) dan mazhab Imam Al-Maturidiyah.
Bukan itu sahaja, malah mereka turut menyerang mazhab-mazhab fiqh termasuklah mazhab As-Syafi’e dan mereka menganggap hanya merekalah yang benar dalam memahami Al-Quran dan As-Sunnah, sedangkan perbezaan pendapat yang bercanggah dengan mazhab mereka dianggap sesat dan salah, bahkan sampai ke tahap membid’ahkan pendapat mazhab yang kontra dengan mereka.
Pelopor-pelopor mereka pada zaman ini termasuklah Sheikh al-Albani, Sheikh Ibn Baz, Sheikh Al-Uthaimin, dan Sheikh Abu Bakar al-Jaza’iri. Benteng terbesar golongan tersebut ialah di Arab Saudi, dan mereka bernaung di bawah naungan kerabat kerajaan Bani Sa’ud, kerana unsur-unsur sejarah di mana golongan Wahhabilah yang membantu Bani Sa’ud mendapatkan tahkta kerajaan di Tanah Hijjaz (Arab Saudi kini).
Kini, golongan tersebut terus menebarkan sayapnya ke serata alam dengan pelbagai cara termasuklah dengan menggunakan wang, mengedarkan buku-buku percuma tentang fahaman mereka kepada jemaah haji dan umrah dari seluruh dunia, menanam fahaman Wahhabi kepada para pelajar yang menuntut di Mekkah dan Madinah, khususnya para pelajar yang datang dari negara-negara islam yang lain.
Persoalannya, apakah matlamat sebenar golongan Wahhabi dan benarkah apa yang mereka perjuangkan?
Para ulama’ muktabar telah menyingkap persoalan tersebut secara mendalam, dan kesimpulan yang dapat mereka buat ialah, golongan Wahhabi sebenarnya cuba memecahkan kesatuan umat Islam khususnya dengan menutup pintu perselisihan pendapat dan menuduh golongan yang bercanggah dengan mereka adalah sesat dan bid’ah.
Golongan Wahhabi cuba menegaskan bahawa, perbezaan pendapat tidak dibenarkan dalam memahami Al-Quran dan As-Sunnah, dan hanya ada satu sahaja kefahaman yang benar dan perlu diikut, sedangkan kefahaman yang lain adalah sesat atau bid’ah.
Contohnya, dalam isu doa qunut dalam solat Subuh.Golongan Wahhabi menegah daripada membacanya sedangkan itu merupakan masalah khilafiyah (masalah yang para ulama’ berselisihan pendapat mengenainya), dan Mazhab As-Syafi’e khsusnya, menyatakan bahawa membaca qunut pada Solat Subuh adalah sunat.
Bukan itu sahaja, bahaya yang paling besar yang dibawa oleh Salafi Wahhabi ialah, At-Takfir (mengkafirkan orang lain). Golongan Wahhabi terlalu mudah mengkafirkan orang lain khususnya mereka yang mengikut golongan sufi ataupun golongan yang tidak sependapat dengan mereka. Inilah pintu perpecahan umat Islam yang paling utama. Disamping itu juga, mereka terlalu cepat membid’ahkan orang lain dan menganggap setiap perkara baru dalam agama adalah bid’ah yang sesat, sedangkan kebanyakkan para ulama’ menegaskan bahawa, bid’ah terbahagi kepada bid’ah yang menyesatkan dan bid’ah yang dibenarkan.

Oleh kerana itulah, kebanyakkan ulama’-ulama’ muktabar di serata dunia, menolak fahaman Wahhabi. Ini kerana, golongan Wahhabi membawa kepada perpecahan di dalam umat Islam dan membawa kepada ta’asub dan fanatik terhadap satu pendapat sahaja dan tidak membenarkan perbezaan pendapat. Inilah pintu perpecahan yang perlu ditutup dalam masyarakat Islam.

Persoalan yang lain ialah, adakah fahaman Wahhabi ini merupakan suatu fahaman yang bersesuaian dengan Ahul Sunnah wal Jammah ataupun tidak? Ataupun, persoalannya, adakah Salafi Wahhabi merupakan mazhab dalam Islam, ataupun ianya merupakan sebuah ideologi?
Para ulama’ dan guru-guru kami di Mesir khususnya telah memdedahkan banyak kesalahan para Wahhabi dalam masalah memahami al-Quran dan As-Sunnah khususnya dalam masalah aqidah.
Golongan Wahhabi mempercayai bahawa Allah s.w.t. duduk di atas Arasy dan Allah s.w.t. sedang berada di atas langit. Mereka juga percaya bahwa Allah s.w.t. mempunyai rupa paras dan berjasad. Mereka berpandukan ayat-ayat al-Quran Mutasyabihat (kesamaran maknanya), yang mana ianya tidaklah bermaksud seperti yang mereka sangka.
Ahlul Sunnah wal Jamaah secara mutlak menafikan Allah s.w.t. bertempat dan berjasad. Ini kerana, ianya menyebabkan Allah s.w.t. berhajat kepada tempat sedangkan Allah s.w.t. tidak memerlukan apa-apa pun.
Namun, di Malaysia, segelintir golongan yang terpengaruh dengan kefahaman Wahhabi hanyalah berkaitan dengan masalah fiqh, tidak bersangkutan dengan masalah aqidah. Golongan Salafi Wahhabi di Malaysia nampaknya hanya menyebarkan fahaman Wahhabi dari sudut hukum-hakam semata-mata, seperti berkaitan dengan ibadah dan pergaulan. Mereka membid’ahkan qunut, membid’ahkan tarikat sufi, membid’ahkan majlis sambutan maulid Rasulillah s.a.w. sedangkan perkara-perkara tersebut tidaklah bid’ah yang sesat seperti sangkaan mereka.
Golongan Salafi di Malaysia berkemungkinan tidak sepenuhnya memahami apa itu Wahhabi, mazhab yang mereka pegang secara mendalam. Ini kerana, buku-buku yang mendokong fahaman Wahhabi dalam Bahasa Malaysia kebanyakkannya menyebarkan fahaman Wahhabi dari sudut ibadat, tidak dari sudut Aqidah mereka.
Walaupun hanya masalah ibadah dan fiqh, yang disebarkan oleh golongan Wahhabi di Malaysia, namun bahayanya ialah, pendirian mereka dalam membid’ahkan dan menyesatkan golongan yang tidak sehaluan dengan mereka khususnya golongan sufi dan golongan yang bermazhab As-Syafi’e di Malaysia.
Sebenarnya, golongan salafi tidak sepatutnya menyebarkan fahaman Salafi Wahhabi dalam masyarakat awam di Malaysia, kerana masyarakat awam seharusnya berpegang dengan mazhab mufti dan mazhab negara mereka, di mana kebanyakkan di kalangan para mufti adalah bermazhab syafi’e dan mazhab umat Islam di negara Malaysia secara umumnya ialah mazhab Syafi’e.
Adakah golongan Salafi Wahhabi dianggap sebagain golongan mujaddid (pembaharu) yang membawa arus reformasi dalam masyarakat Islam, khususnya dalam bidang agama mereka?
Jawapannya, tidak. Ini kerana, masyarakat awam Islam di Malaysia hanya perlu mengikut mufti mereka dan mazhab mereka ialah mazhab mufti mereka, seperti yang ditekankan oleh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi. Maka, fahaman-fahaman yang bertentangan dengan mazhab mufti sesebuah masyarakat seharusnya tidak boleh didedahkan dan diperbincangkan di khalayak awam agar mengelakkan perpecahan dalam masyarakat awam dan mengelakkan kekeliruan dalam umat Islam.
Maka, seruan kepada para pendokong Salafi Wahhabi di Malaysia agar tidak memecahbelahkan masyarakat dengan kefahaman Wahhabi dengan membid’ahkan sesuatu perkara sewenang-wenangnya. Boleh jadi, sesuatu yang kita anggap ia merupakan bid’ah ada dalilnya dalam Islam, Cuma kita sahaja yang tidak mengetahuinya. Bukankah lebih baik agar kita tidak memecahkan perpaduan masyarakat Islam di Malaysia yang seharusnya berpegang dengan mufti mereka selagimana para mufti masih berpegang dengan Al-Quran dan As-Sunnah.
Semoga Allah membantu kita dalam mengembalikan kedaulatan Islam dan menegakkan perpaduan dalam umat Islam.
Wallahu a’lam….
Al-Faqir ila Allah:
Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin As-Syazuli
Tahun 4
Fakulti Usuluddin (Tafsir)
Universiti Al-Azhar, Zagzig
Mesir

No comments: