Di dalam suasana rakyat Malaysia berpesta meraikan ulang tahun ke-50 kemerdekaan sebuah negara- bangsa yang diberi oleh penjajah, satu peristiwa tragis yang juga terkait dengan negara-bangsa telah ‘meletus’ pada masa yang sama. Insiden seorang pengadil karate dari Indonesia yang dipukul empat orang anggota polis Malaysia di Nilai, Negeri Sembilan pada 24 Ogos lepas telah mencetuskan kemarahan pelbagai pihak di Indonesia dari peringkat rakyat, pertubuhan-pertubuhan hinggalah ke peringkat ahli politik. Pengadil tersebut, Donald Kolopita pecah gegendang sebelah telinga dan lebam di beberapa bahagian badan termasuk kemaluan sehingga terpaksa dimasukkan ke wad. Tunjuk perasaan anti Malaysia diadakan tiga hari berturut-turut di hadapan Kedutaan Malaysia, di Jakarta dan pejabat konsul Malaysia di Medan dan Kalimantan. Perkarangan Kedutaan Malaysia dilontar dengan kayu, batu dan telur. Jalur Gemilang juga dibakar oleh para penunjuk perasaan yang sedang marah [Mingguan Malaysia 02/09/07].
Selain itu, berbagai-bagai kecaman dan sindiran dibuat oleh pelbagai pihak di Jakarta daripada artis hinggalah pemimpin politik, terhadap pemerintah dan rakyat Malaysia berhubung penganiayaan terhadap tenaga kerja dan kes pencederaan pengadil karate tersebut. Media massa di Indonesia terus menerus membakar semangat rakyat, seolah-olah tidak ada langsung yang baik tentang negara yang menjadi tempat naungan lebih 1.5 juta pedududuk Indonesia untuk mencari rezeki.
Rakyat Malaysia juga dituduh angkuh dan dianggap sebagai bangsa yang biadap. Ada yang mengancam untuk bertindak balas termasuk mengusir rakyat Malaysia yang berada di sana. Walaupun pernyataan maaf telah dikeluarkan oleh Perdana Menteri Malaysia sendiri bagi menjaga kehamornian yang terjalin antara dua negara, masih ada nada-nada sindiran secara tidak langsung oleh penyampai stesen televisyen.
Mereka tidak dapat menerima penjelasan itu sekalipun telah ditegaskan bahawa insiden seperti penderaan dan penganiayaan itu telah diberikan perhatian serius dan perbuatan itu bukan budaya rakyat Malaysia. Beberapa pihak juga telah mendesak pemimpinnya agar tidak menghadiri perayaan ulang tahun kemerdekaan dan sambutan 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia-Indonesia di Kuala Lumpur dan di Jakarta [Mingguan Malaysia 02/09/07].
Demikianlah seriusnya suasana ini. Perasaan marah yang membuak-buak yang ditunjukkan oleh mereka yang tidak puas hati adalah tidak lain kerana insiden ini melibatkan dua negara-bangsa yang berbeza. Dengan kata lain, hal ini sebenarnya muncul dari perasaan dan pemikiran bahawa ‘aku warganegara Indonesia dan engkau warganegara Malaysia’.
Inilah perasaan assabiyyah (kebangsaan/nasionalisme) yang muncul kerana perbezaan bangsa, ditambah pula dengan rasa sayangkan tanahair/negara (wathaniyyah/patriotisme). Ketegangan dan kekecohan yang berlaku di atas adalah manifestasi dari nasionalisme dan patriotisme, yang jelas-jelas merupakan pemikiran kufur yang dijadikan ikatan oleh sebahagian kaum Muslimin, tanpa memperdulikan persamaan akidah yang mereka miliki.
Analoginya cukup mudah; jika yang dipukul itu adalah pengadil karate dari Malaysia sendiri (katakan beragama Islam), maka sudah barang pasti rakyat Indonesia tidak akan terasa apa-apa. Tidak akan ada demonstrasi, tidak akan ada perasaan sakit hati, marah, dendam dan sebagainya dan yang pasti berita ini tidak akan dipandang sedikitpun, apatah lagi untuk dijadikan satu isu. Begitu juga jika yang dipukul itu adalah rakyat Mesir atau Turki (walau beragama Islam sekalipun), tentunya rakyat Indonesia akan diam membisu.
Sebaliknya, rakyat Mesir atau Turki pula yang akan melenting. Inilah hakikat assabiyyah dan wathaniyyah.
No comments:
Post a Comment