Friday, August 6, 2010

Pengitlakan Istilah Yang Mengundang Fitnah

“Betul ke dia tidak baca al-Fatihah dalam
wirid lepas Solat? Itu Wahabi tu!” tegas
Abu.

“Imam tu tidak akan sekali-kali
meninggalkan Qunut semasa Solat Subuh.
Kalau terlupa, digantinya dengan Sujud
Sahwi. Astaghfirullah. Itu Bid ’ah tu!” ujar
Hamdan.

“Ummah Centric? Idea yang menolak
kewajipan berjemaah itukah? Itu mesti
agen UMNO ” dakwa Ismail.

“Dia tidak setuju dengan idea kita dalam
Kursus Bina Diri ini. Dia itu pasti geng
pembangkang !” kata Khir.

“Ada ke dalam masjid pun nak ambil fakta
daripada buku Covey. Itu sudah tentu
terkena jarum Orientalis !” ulas Salmah
selepas kuliah Maghrib di Masjid.

“She is a prominent sympathizer towards
Palestinians. She must then a Moslem
terrorist !” simpul Helen tentang rakannya.


Dialog di atas itu merentas zaman. Ia
disebut di sana sini. Ada di antaranya yang
lebih menonjol di satu-satu masa,
menenggelamkan yang lain selepas isunya
reda.

Apakah titik persamaan di antara Wahabi,
Bid ’ah, UMNO, Pembangkang, Orientalis dan
Muslim Terrorist?

Kesemuanya adalah THE OTHERS.

Terma yang digunakan untuk merujuk
kepada apa-apa sahaja idea yang
bertentangan dengan arus perdana di
dalam kelompok tertentu manusia.

The
Others itu adalah suatu pengitlakan,
membuat anggapan umum atau boleh juga
disebut sebagai generalisasi, merujuk
kepada terma generalization di dalam
Bahasa Inggeris.

Pengitlakan konsep, yang kurang spesifik
pada kriteria-kriteria yang dirujuk, selalu
dilihat sebagai salah satu teras kepada
logik manusia untuk meletakkan sebab
musabbab sesuatu. Ia boleh menjadi
sesuatu yang positif dan perlu, tetapi lazim
juga mencerminkan kedangkalan
maklumat atau kejahilan seseorang
terhadap pengitlakan yang dibuat.

Justeru,
penilaian mesti dibuat untuk memastikan
apakah ada atau tidak kebenaran di dalam
pengitlakan berkenaan.

WAHABI VS. BID’AH

Menganggap apa sahaja yang berbeza
daripada amalan arus perdana sebagai
Wahabi, adalah di antara polemik yang
sangat membelenggu lagi mengganggu
kehidupan masyarakat umat Islam semasa.

•Tidak melafazkan niat di permulaan Solat
adalah Wahabi.
•Basmalah di dalam Surah al-Fatihah tidak
dibaca secara jahriyyah (bersuara) adalah
Wahabi.
•Meletakkan posisi tangan tinggi sedikit di
dada semasa Qiyam di dalam Solat adalah
Wahabi.
•Menggerak-gerakkan jari telunjuk semasa
tasyahhud adalah Wahabi.
•Tidak menyapu muka selepas memberi
salam usai bersolat adalah Wahabi.
•Berwirid sendiri-sendiri selepas solat
berjamaah adalah Wahabi.
•Tidak bersetuju dengan amalan kenduri
arwah adalah Wahabi.
•Tidak membaca Yasin di Khamis malam
Jumaat adalah Wahabi.
•Apatah lagi tidak bertalqin selepas
pengebumian jenazah adalah Wahabi.

Apa sahaja yang berbeza daripada amalan
kebiasaan yang wujud di dalam
Masyarakat, maka secara mudah ia
dianggap sebagai Wahabi. Satu pengitlakan
yang amat memudaratkan sesiapa yang
menjadi mangsanya. Melabelkan seseorang
sebagai Wahabi adalah satu cara mudah
untuk membunuh perbezaan yang berlaku
walaupun hakikatnya ada penjelasan yang
lebih murni terhadap perbezaan itu selain
melabelkannya sebagai Wahabi.
Perbezaan-perbezaan itu wujud secara
muktabar di dalam mazhab-mazhab yang
lain. Pendirian Mazhab Hanafi, Maliki atau
Hanbali diterima sebagai pendapat yang
berada di dalam ruang lingkup Ahli Sunnah
wal Jamaah. Tetapi menghapuskan hakikat
ini dan melabelkannya secara total sebagai
Wahabi, ia adalah suatu jenayah yang
merosakkan umat.
Malah istilah Wahabi itu sendiri mempunyai
konotasi yang kotor. Istilah Wahabi itu
dirujuk kepada pengasas gerakan
Muwahhidin pada kurun ke-18 di
Semenanjung Tanah Arab, iaitu Muhammad
ibn ‘Abd Al-Wahhab ibn Sulaiman ibn Ali ibn
Muhammad ibn Ahmad ibn Rashid Al-
Tamimi. Nama beliau adalah Muhammad
dan kabilah asal usulnya adalah al-Tamimi.
Tetapi mengapa gerakannya digelar
sebagai Wahabi? Bukan Muhammadi atau
Tamimi?
Wahabi itu adalah nisbah kepada nama
bapa beliau iaitu Abd al-Wahhaab dan
kalimah al-Wahhaab itu sendiri adalah
salah satu daripada 99 nama Allah di dalam
al-Asmaa ’ al-Husna.

Menggelar gelaran Wahabi kepada gerakan
beliau, adalah salah daripada banyak sudut.
Abd al-Wahhab adalah nama bapanya dan
bukan nama beliau. Manakala
menyuntikkan konotasi buruk ke dalam
kalimah AL-WAHHAB menjadi WAHABI
adalah suatu pencemaran kepada al-
Asmaa ’ al-Husna yang mungkin tidak
disedari oleh mereka yang secara liar
menggunakannya.
Daripada manakah asal usul terma ini?
Golongan yang sangat komited
menggunakannya dalam pendakwaan
mereka bertanggungjawab untuk
membuat penjelasan.
Itu kisah kelompok yang membuat
pengitlakan dengan istilah Wahabi. Apa
sahaja yang bertentangan dengan kita
adalah Wahabi.
Wahabi adalah The Others!

Ada pun di sana, kelompok yang sering
digelar sebagai Wahabi juga tidak terlepas
daripada membawa budaya pengitlakan
yang sama. Sebahagian daripada golongan
yang membawa syiar Tajdid ini
beranggapan bahawa apa sahaja yang
tidak menepati kefahaman mereka tentang
Sunnah, maka ia adalah Bid ’ah.

•Melafazkan niat di permulaan Solat adalah
Bid’ah.
•Basmalah di dalam Surah al-Fatihah
dibaca secara jahriyyah (bersuara) adalah
Bid ’ah.
•Berwirid secara berjamaah selepas solat
berjamaah adalah Bid’ah.

•Menyapu muka selepas berdoa adalah
Bid’ah.
•Bersalam-salaman sesama jamaah di
masjid usai mengerjakan Solat adalah
Bid ’ah.
•Membaca Yasin di Khamis malam Jumaat
adalah Bid’ah.
•Bertalqin selepas pengebumian jenazah
adalah Bid’ah.
•Menyertai kumpulan atau hizbiyyah juga
adalah Bid’ah.

Apa sahaja yang tidak secara tekstual
menepati kefahaman pihak ini terhadap
Sunnah maka ia terus dilabelkan sebagai
Bid ’ah. Sedangkan sebahagian daripada apa
yang dianggap Bid’ah itu hakikatnya adalah
pendapat-pendapat yang wujud di dalam
Mazhab yang muktabar, masih berada di
satu wajah daripada wajah-wajah (Wajhun
min al-Wujooh) kefahaman yang terbit
daripada rujukan al-Quran dan al-Sunnah,
tetapi secara mudah dilabel dengan istilah
pembunuh bernama Bid’ah.
Setiap Bid’ah adalah sesat.
Setiap yang sesat tempatnya adalah di
Neraka.

Tidak dinafikan, ada di antara amalan yang
wujud di dalam masyarakat, benar-benar
Bid ’ah kerana ia adalah sesuatu yang tiada
asal usul agama, tiada justifikasi agama,
malah menjurus kepada Syirik. Contoh
ekstrim seperti Mandi Safar, bersolat di
kuburan, atau menyelewengkan ayat al-
Quran dalam perubatan yang
menggunakan pertolongan Jin, semua ini
adalah Bid’ah yang besar dan harus
ditentang sebagai kemungkaran.

Tetapi sebahagian daripada amalan yang
wujud di dalam masyarakat, tidak
semestinya Bid ’ah hanya kerana ia tidak
menepati satu teks Hadith. Daripada
manakah asalnya perbuatan melafazkan
niat sebelum mengangkat Takbir Solat?
Mengapakah adanya bacaan wirid secara
berjamaah selepas Solat? Apakah asal
usulnya bacaan Tahlil di dalam majlis
keraian masyarakat? Daripada manakah
susur galur terjadinya bacaan Talqin
selepas pengebumian jenazah?
Bagaimanakah pula dengan menjadikan al-
Fatihah sebagai doa umum yang dibaca di
kebanyakan tempat dan sempena?

Sebahagiannya, berasal usul daripada
proses mendidik dan memudahkan
golongan bermasalah untuk melaksanakan
ibadah. Melafazkan niat sebagai bantuan
kepada golongan musykil seperti masalah
was-was, menggunakan al-Fatihah sebagai
doa umum pada keterbatasan kemampuan
masyarakat menghafal pelbagai doa, wirid
berjemaah selepas Solat sebagai satu
proses Tarbiyah … kesemua itu memerlukan
pendukung Tajdid untuk lebih teliti pada
usaha memurnikan amalan masyarakat.
Apatah lagi pada urusan yang menjadi
khilaf muktabar seperti Qunut di dalam
Solat Subuh. Adalah keterlaluan untuk
melabelkannya sebagai Bid ’ah.
Apa sahaja yang popular di dalam amalan
masyarakat tetapi bersalahan dengan satu
wajah tafsiran kita terhadap al-Quran dan
Sunnah, maka ia adalah Bid ’ah.
Bid’ah adalah The Others.
Akhirnya, kontroversi yang membabitkan
istilah Wahabi dan Bid ’ah di dalam
masyarakat, menjadi fitnah yang sangat
memudaratkan umat.

Tajdid mungkin membawa maksud
pencerahan dan pemurnian, tetapi apabila
pengitlakan istilah berlaku secara liar, ia
mengundang kegelapan yang lebih
berbahaya daripada sebelumnya.

Perbuatan reaktif golongan yang mahu
menangkis istilah Bid’ah ini pula bertemu
dengan perkataan Wahabi yang digunakan
sewenang-wenangnya, sebagai satu
character assassination yang berkesan
pada mematikan proses dialog dan
peningkatan Tsaqafah umat.
Ia bukan lagi isu perbezaan pendapat.
Tetapi persoalan sikap dan mazmumah
Akhlaq.


PEMBANGKANG (PAS) VS. UMNO

source: senjaliza.blogspot.com

Menganggap apa sahaja pandangan yang
tidak selaras dengan keputusan Syura,
pimpinan atau pandangan parti sebagai
UMNO atau AGEN UMNO, adalah penyakit
pengitlakan istilah yang turut menimpa
segelintir pendukung gerakan Islam di
dalam PAS.
Beberapa tahun yang lalu, al-Ustaz Maszlee
Malik pernah melontarkan satu idea yang
dikenali sebagai Ummah Centric sebagai
solusi cadangan kepada ketaksuban
sesetengah orang kepada jemaah mereka.
Timbul kemalangan intelektual apabila idea
Ummah Centric ini dilabel sebagai idea
UMNO dan Ustaz Maszlee sendiri digelar
sebagai Agen UMNO.

Di dalam PAS, menyabitkan seseorang
sebagai UMNO atau agen UMNO adalah satu
bentuk character assassination yang sangat
berkesan pada mematikan pengaruhnya.
Apa sahaja pandangan yang tidak selaras
dengan apa yang berada di dalam arus
perdana kelompok ini, akan secara mudah
dianggap sebagai jarum-jarum UMNO.

Keadaan ini menutup pintu wacana atau
pandangan di luar kotak yang
sebahagiannya dilontarkan oleh pihak luar
dan dalam, untuk kebaikan PAS itu sendiri.
Ia suatu kerugian, dan tindakan yang
berkesan pada meramaikan musuh.
Contoh terbaru yang boleh dirujuk adalah
pada lontaran pandangan kontroversi Prof.
Dr. Abdul Aziz Bari berkenaan dengan isu
Kerajaan Perpaduan, serta persepsi semasa
masyarakat terhadap PAS. Selama ini, Prof.
Dr. Abdul Aziz Bari sering mengambil
pendirian yang menjadikannya ‘makhluk
asing’ di lingkungan dunia akademiknya,
tatkala berpendapat dengan pendapat
yang berpihak kepada PAS.

Pandangan
perundangan beliau tentang isu peralihan
kuasa pemerintahan di Negeri Perak sangat
banyak memberikan nilai penting kepada
PAS.
Tetapi apabila pandangan beliau tidak
selari dengan apa yang dijangkakan oleh
PAS, maka dengan mudah Prof. Dr. Abdul
Aziz Bari dilabel sebagai UMNO.
Apa sahaja yang bertentangan dengan PAS
adalah UMNO.
UMNO adalah The Others.

Pandangan yang terbit daripada sikap yang
sama turut ditemui di dalam lingkungan
pendukung UMNO.
Sekiranya ada pandangan yang tidak
selaras dengan kehendak kepimpinan
tertinggi dan parti, maka dengan mudah ia
dianggap sebagai idea pembangkang.
Di peringkat bawahan, para mahasiswa dan
mahasiswi sering berdepan dengan
belenggu ini. Mereka harus berbeza
pandangan daripada idea-idea yang lebih
popular di kalangan kelompok pelajar yang
pro pembangkang. Jika selama ini pelajar
yang pro-pembangkang bekerja keras
berusaha menentang maksiat yang berlaku
di dalam kampus maka pelajar yang pro-
UMNO sukar untuk melontarkan
persetujuannya terhadap apa yang
dilakukan oleh pelajar pro-pembangkang
tentang maksiat yang bertentangan
dengan Islam itu kerana khuatir dilabel
sebagai Agen Pembangkang.

Datuk Mohd Zaid Ibrahim

Manakala di peringkat atasan pula, kita
sama-sama dapat melihat bagaimana
kontroversinya tahun 2008 apabila
pandangan Datuk Mohd. Zaid Ibrahim
terhadap penahanan Ahli Parlimen Teresa
Kok, blogger Raja Petra Kamaruddin dan
wartawan Tan Hoon Cheng di bawah
peruntukan ISA. Bantahan beliau terhadap
tindakan itu telah menyebabkan Datuk Zaid
Ibrahim diposisikan sebagai ahli UMNO
yang berpihak kepada pembangkang,
walaupun ketika itu beliau tidak
mempunyai sebarang hubungan yang
kelihatan dengan PKR atau Pakatan Rakyat.
Sesiapa sahaja yang mengkritik kepimpinan
UMNO atau pandangan arus perdana parti
itu, maka ia dianggap sebagai
Pembangkang atau PAS.
PAS dan Pembangkang adalah The Others.

Sikap ini membekukan perkembangan
kedua belah pihak apabila PAS dan Pakatan
Rakyat serta UMNO mengambil pendirian
yang merugikan mereka. Namun kerugian
terbesar bukanlah setakat di peringkat
politik, malah ia ditanggung secara
langsung oleh rakyat, pihak yang sebenar-
benarnya menjadi mangsa kepada
pemikiran seperti ini.

ORIENTALIS VS. PENGGANAS MUSLIM

Di pentas-pentas ceramah, kuliah Maghrib
dan Subuh, perkataan Orientalis sering
diulang-ulang oleh para ustaz dan
pendakwah sebagai pihak yang mewakili
apa sahaja pendapat yang bertentangan
dengan Islam.

Orientalis disudutkan sebagai satu
fahaman yang mewakili idea-idea yang
tidak menepati arus perdana masyarakat.
Jika tadi, ada kelompok yang saling
berbalah antara Wahabi dan Bid ’ah, kini
kedua-duanya boleh bersepakat pada
menghentam dan menyalahkan Orientalis,
setiap kali munculnya pandangan yang
‘ berbau Barat’.

Apabila Khairuddin al-Tunisi memberi
saranan agar Sultan Abdul Hamid II
mengkaji dan mengambil iktibar daripada
sejarah kehidupan Charlemagne di Eropah,
pandangan Khairuddin al Tunisi itu
dianggap sebagai pandangan Orientalis
Barat yang memudaratkan Islam.
Sedangkan apabila Khairuddin al-Tunisi
memberikan saranan sedemikian rupa,
beliau mahukan Sultan Abdul Hamid II dan
kabinetnya menyuntik unsur dinamik
kepada Pan Islamisma agar Islam sebagai
ideologi Politik tidak kabur dengan konsep-
konsep yang tidak diperincikan seperti
konsep Syura.

Di negara kita juga, pada era 90′an, istilah
Triple IT yang merujuk kepada
International Institute of Islamic Thought
(IIIT) sering diguna pakai untuk merujuk
kepada idea-idea yang berbeza daripada
pandangan konservatif Islam. Triple IT juga
disebut sebagai Islam Amerika, khusus
untuk menangkis idea idea ‘pembaharuan’
yang dibawa oleh musuh besar
pembangkang di era itu iaitu Timbalan
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar
Ibrahim.

Mengistilahkan apa sahaja yang asal
usulnya daripada Barat sebagai Triple-IT,
atau Orientalis adalah satu bentuk
pengitlakan istilah yang merugikan umat
ketika mana banyak kebaikan boleh
dimanfaatkan daripada kerja-kerja
kelompok Orientalis itu.
Di dalam buku Orientalism tulisan Maryam
Jamilah, beliau secara tegas menyatakan
bahawa tidak semua Orientalis atau
Orientalisma itu negatif.

Katanya:
Is Orientalism then totally evil? The answer
is a qualified no. A few outstanding
Western scholars have devoted their lives
to Islamic studies because of their sincere
interests in them. Were it not for their
industry, much valuable knowledge found
in ancient Islamic manuscripts would have
been lost or lying forgotten in obscurity.

English Orientalists like the late Reynold
Nicholson and the late Arthur Arberry
accomplished notable work in field of
translating classics of Islamic literature and
making them available to the general
reader for the first time in a European
language.

Maryam Jamilah mengiktiraf sumbangan
sekumpulan Orientalis seperti Reynold
Nicholson dan Arthur Arberry yang
sememangnya tidak terbabit di dalam
agenda kolonialisasi Imperialisma Barat.
Tetapi sayangnya, buku Orientalism
karangan Maryam Jamilah itu sendiri, tidak
banyak berhasil pada menunjukkan sisi
positif Orientalisma sebagaimana yang
dinyatakan oleh penulisnya, justeru apa
yang ketara hanyalah penolakan agresif
yang sedikit sebanyak merugikan umat.

Orientalis dan Barat adalah The Others.

Ada pun di pihak negara Barat sendiri, sikap
yang sama tidak terkecuali.
Tanggapan bahawa mana-mana pendapat
yang bertentangan dengan polisi luar
Amerika Syarikat atau Akta Anti Keganasan,
sebagai pengganas Muslim, adalah
kebiasaan yang sering mencetuskan
kekacauan.

Cherie Booth QC dan Tony Blair

Kita tidak lupa kepada Cherie Booth, isteri
kepada bekas Perdana Menteri Britain.Pada
tahun 2002, sejurus selepas kejadian
letupan yang berlaku di Jerusalem
membabitkan kematian 19 orang di
Palestin yang berpunca daripada
Pengebom Berani Mati Palestin, beliau
berkata, “as long as young people feel they
have no hope but to blow themselves up,
we ’re never going to make progress, are
we?”

Pandangan tersebut telah mencetuskan
kemarahan yang luar biasa di kalangan
negara Barat hingga memaksa Cherie
Booth meminta maaf kepada orang ramai.

Tony Blair sendiri mengalami kemerosotan
reputasi akibat kenyataan yang dibuat oleh
isterinya itu.
Demikian juga pendirian Ken Livingston,
Datuk Bandar Kota London yang banyak
berpihak kepada Palestin dan Muslim, telah
memposisikan beliau sebagai seorang yang
‘disyaki’ di bawah suluhan lampu
pemikiran The Others masyarakat Barat.

Muslim atau Muslim Terrorist adalah The
Others!

Sikap yang seperti ini menyuburkan
Islamophobia di dalam masyarakat Barat
malah mencetuskan paranoid yang
keterlaluan.Pandangan yang prejudis
terhadap sesiapa sahaja yang berbeza
daripada kita, menimbulkan banyak
ketidakstabilan sosial di dalam masyarakat
dan mencetuskan fitnah yang sukar untuk
dipadam.

Kepada umat Islam, cukuplah peringatan
Allah berikut menjadi panduan:
“Wahai orang-orang yang beriman, apabila
datang kepada kamu seorang Fasiq
membawa sebuah berita yang penting,
maka periksa dan telitilah dahulu
mengenainya, supaya jangan nanti kamu
menghukum sesuatu kaum dalam keadaan
yang jahil sehingga nantinya akan
menjadikan kamu sesal (akan
ketelanjuranmu itu )” [al-Hujuraat 49: 6]

PENGURUSAN NAS

Manakala kepada agamawan yg sedang
ghairah berdebat di khalayak,
renungkanlah ‘ibrah yang boleh diambil
daripada peristiwa yang berlaku, ketika
mana Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa
sallam mengajar kepada Abu Hurairah
radhiyallaahu ‘anhu hadith “barangsiapa
yang mengucapkan Laa Ilaaha Illallaah
dengan penuh keyakinan,nescaya dia akan
masuk ke Syurga.”

Mendengar akan hadith ini, Abu Hurairah
bergegas menuju ke pasar untuk
menghebahkan kenyataan Rasulullah
sallallaahu ‘alayhi wa sallam ini. Akan tetapi
di pertengahan jalan, beliau bertemu
dengan ‘Umar al-Khattab radhiyallaahu
‘anhu yang menahan perjalanan Abu
Hurairah kerana mengetahui akan
tujuannya.

‘Umar membawa Abu Hurairah
kembali kepada Nabi sallallaahu ‘alayhi wa
sallam dan beliau bertanya kepada
Baginda, “apakah engkau yang
mengutuskan Abu Hurairah membawa
kedua alas kaki – sebagai bukti bahawa
engkau yang berkata–barangsiapa yang
mengucapkan Laa Ilaaha Illallaah dengan
penuh keyakinan,maka sampaikan
kepadanya berita gembira tentang Syurga
– ?”

Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam
berkata, “ya.”

‘Umar al-Khattab berkata, “janganlah
lakukan ia (wahai Rasulullah),aku khuatir
orang akan hanya bergantung kepada
ucapan itu.Biarkanlah mereka terus
beramal. ”

Lalu Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam
bersabda,“kalau begitu,biarkan sahaja
mereka beramal” [Hadith riwayat al-
Bukhari dan Muslim]

Besar sungguh hikmah di sebalik peristiwa
ini. Keterbukaan Rasulullah sallallaahu
‘ alayhi wa sallam menerima pandangan
‘Umar agar momentum bekerja dan
beramalnya masyarakat tidak
dipertaruhkan dengan satu khabar gembira
yang boleh disalah tafsirkan,menjadi suatu
peringatan kepada kita semua tentang
kaedah pengurusan penyampaian Hadith
dan pembetulan terhadap amal di dalam
masyarakat.

Jangan sampai keghairahan terhadap nas,
menjadikan kita tidak peduli terhadap
keretakan dan kemusnahan yang sedang
meruncing di tengah masyarakat.
Berhaluslah dalam tindakan!
Banyak isu yang menghangat serta
membingungkan masyarakat hari ini,
bukanlah isu perbezaan usul yang tulen.

Sebaliknya ia lebih berpunca daripada
mazmumah sikap yang gagal mengangkat
kepentingan Ummah sebagai keutamaan
yang diamanahkan Allah kepada Khalifah-
Nya.
Semoga kita kembali bertaqwa kepada
Allah.


SaifulIslam.com

No comments: